Segala-galanya berpunca daripada satu tanggapan mudah: “Ah, lama lagi...”
Bagi mereka yang baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan, istilah ‘persaraan’ itu kedengaran sangat jauh. Seolah-olah sesuatu yang boleh difikirkan kemudian hari. Fokus kita biasanya lebih tertumpu kepada perkara di depan mata: mengukuhkan kerjaya, menyara keluarga, dan sudah tentu, ingin menikmati hidup sementara masih muda.
Namun, masa berlalu dengan sangat pantas. Sedar tidak sedar, apa yang dahulunya nampak jauh kini mula terasa semakin dekat. Bagi kebanyakan kita, pada waktu inilah mula terdetik dalam hati: “Cukupkah simpanan aku?”
Bayangkan persaraan idaman anda
Kita semua mempunyai impian persaraan yang ingin dicapai. Ada yang ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan, menikmati aktiviti riadah, atau menyumbang semula kepada masyarakat. Ada juga yang bercita-cita untuk mempelajari kemahiran baharu atau mula serius mendalami hobi yang selama ini tertangguh.
Untuk menjadikan impian ini satu kenyataan, segalanya harus bermula dengan perancangan. Namun realitinya, ramai yang hanya mula serius memikirkan tentang simpanan mereka apabila usia sudah pun meningkat. Malah, ada yang terdetik rasa ralat, alangkah baiknya jika mereka bermula lebih awal.
Bagaimana untuk mula merancang persaraan?
Jika anda tidak pasti di mana harus bermula, ikuti langkah mudah ini:
1. Tentukan gaya hidup yang anda inginkan
Bayangkan kehidupan yang anda impikan selepas bersara nanti. Dengan gambaran yang jelas, barulah anda dapat mengenal pasti keperluan kewangan yang sebenarnya diperlukan.
2. Anggarkan perbelanjaan bulanan masa hadapan
Ambil kira jangkaan belanja bulanan, termasuk kos sara hidup harian, penjagaan kesihatan, dan aktiviti riadah. Jangan lupa faktor inflasi yang mungkin merubah nilai perbelanjaan tersebut mengikut peredaran masa.
3. Semak baki simpanan dan caruman semasa
Lihat semula kedudukan simpanan persaraan anda pada hari ini. Dengan memahami kedudukan kewangan semasa, anda dapat mengenal pasti sama ada anda sudah berada di landasan yang betul atau perlu melakukan pelarasan.
4. Gunakan alatan digital untuk membantu anda
Manfaatkan Kalkulator Matlamat Persaraan dalam aplikasi KWSP i-Akaun. Kemudahan ini sangat membantu untuk mengenal pasti jurang antara simpanan semasa dengan sasaran persaraan yang anda perlukan.
Baca juga: 5 Tabiat Kewangan Bijak Untuk Bersara Awal Dan Capai Kebebasan Kewangan
Langkah kecil, impak besar
Bermula awal bukan bermakna anda perlu melakukan perubahan drastik sehingga membebankan hidup. Sebaliknya, fokus diberikan kepada langkah kecil yang konsisten.
Simpanan yang dibina sedikit demi sedikit akan berkembang menjadi sesuatu yang bermakna suatu hari nanti. Apa yang paling penting, perancangan ini memberikan anda ketenangan minda dan keyakinan bahawa anda kini berada di landasan yang betul.



