Tanda-Tanda Amaran Scam

Elakkan Ditipu: Kenali Tanda-Tanda Amaran Scam
Article Image

Kita semua pernah menerima mesej yang mencurigakan, sama ada melalui panggilan yang mendakwa kita memenangi hadiah besar daripada pertandingan yang kita tidak pernah sertai atau e-mel daripada ‘pegawai polis’ yang mengancam dengan tindakan undang-undang jika bayaran saman yang didakwa tertunggak tidak diselesaikan segera. Walaupun kita sering menganggap diri kita sebagai pengguna teknologi digital dan internet yang berpengalaman, penipuan digital masih boleh menipu kita.

Dengan kemajuan pesat dalam teknologi digital terutamanya dalam sektor kewangan, penipuan dan penyelewengan kini berleluasa di Malaysia. Mengenal pasti tanda-tanda amaran awal penipuan adalah langkah penting untuk melindungi wang dan simpanan anda yang berharga. 

Dapatkah anda mengenal pasti tanda amaran penipuan? 

Berikut adalah beberapa contoh situasi yang mungkin anda hadapi dan tertanya-tanya, "Adakah ini scam?" 

Situasi 1

back chevron

Pak Ahmad menerima panggilan telefon daripada nombor peribadi yang tidak dikenali. Pemanggil mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dan memberitahu bahawa data peribadi Pak Ahmad telah diceroboh. Pemanggil tersebut meminta maklumat akaun bank Pak Ahmad untuk pengesahan dan meminta beliau mengesahkan kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima. 

Tanda Amaran 1: Menerima panggilan daripada nombor peribadi yang tidak dikenali.

Pihak berkuasa dan institusi kewangan tidak akan menghubungi anda menggunakan nombor peribadi. Jika anda menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, berhati-hatilah. Sentiasa sahkan butiran perhubungan melalui laman web rasmi institusi atau pihak yang berkenaan.  

Tanda Amaran 2: Menimbulkan rasa cemas dan mendesak.

Penjenayah siber sering menimbulkan rasa cemas dan mendesak anda untuk membuat keputusan dengan cepat. Mereka mungkin menggunakan ayat berupa ugutan atau ancaman serta mendesak tindakan segera, yang boleh menyebabkan anda tertekan dan tidak mempersoalkan kesahihan situasi tersebut.

Tanda Amaran 3: Meminta maklumat peribadi.

Pihak berkuasa dan institusi kewangan yang sah tidak akan meminta maklumat peribadi melalui telefon, e-mel, atau mesej. Berhati-hatilah jika anda menerima panggilan yang meminta butiran seperti: 

  • Nombor kad kredit atau debit dan kod pengesahan kad (CVV)
  • Nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian 
  • Kod OTP atau TAC yang diterima melalui mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) 

Situasi 2

back chevron

Siew Lynn berkenalan dengan Sam melalui aplikasi janji temu dan mula menjalin hubungan rapat dengannya. Mereka kerap berkomunikasi melalui WhatsApp. Sam kemudian menjemput Siew Lynn untuk menyertai usaha perniagaan barunya yang menjanjikan pulangan besar dalam masa yang singkat. Namun, Sam mengelak daripada memberikan butiran terperinci mengenai perniagaan tersebut dan meminta bayaran pendahuluan sebanyak RM50,000. Setelah Siew Lynn membuat pembayaran, Sam menghilang tanpa dapat dikesan. 

Tanda Amaran 1: Peluang perniagaan yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

Jika sesuatu kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, besar kemungkinan ia adalah scam. Peluang pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dengan risiko rendah dalam masa yang singkat sering kali menjadi petunjuk bahawa ada sesuatau yang tidak kena. Pastikan anda melakukan penyelidikan menyeluruh mengenai perniagaan atau skim pelaburan tersebut untuk mengesahkan kesahihannya. Dalam kes ini, Sam telah mengeksploitasi kepercayaan Siew Lynn menjadikannya lebih mudah untuk ditipu. 

Tanda Amaran 2: Keengganan berkongsi maklumat perniagaan.

Perniagaan yang sah biasanya akan menyediakan maklumat yang jelas mengenai operasi mereka, termasuk butiran tentang pengarah, pemegang saham, dan status kewangan. Sekiranya mereka enggan berkongsi butiran ini, ia adalah petanda amaran yang perlu diberi perhatian. Prinsip yang sama juga perlu digunakan ketika menilai tawaran promosi untuk skim pelaburan. 


Tindakan yang perlu dilakukan jika menjadi mangsa scam

Jika anda mendapati diri anda telah menjadi mangsa scam, jangan panik. Tenangkan diri dan ikuti langkah-langkah berikut:

  • Segera hubungi talian utama fraud bank anda atau Pusat Respons Scam Negara (NSRC) di talian 997 (beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam); 
  • Buat laporan polis.

Panggilan kepada NSRC perlu dibuat dalam masa 24 jam selepas scam berlaku. Jika anda tidak pasti nombor talian utama fraud bank anda, layari #JanganKenaScam untuk dapatkan maklumat lanjut.