Belanjawan 2025 Memperkukuh Kesejahteraan Persaraan, Mempersiapkan Populasi Menua Untuk Masa Depan Lebih Baik
KWASA DAMANSARA, 21 Oktober 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober 2024 yang menyokong agenda reformasi untuk membina sebuah negara yang inklusif dan makmur yang mengutamakan kesejahteraan merentasi semua segmen masyarakat.
Penambahbaikan Insentif Kerajaan untuk i-Saraan dan Peluasan Liputan i-Suri
Selaras dengan ekonomi berteraskan rakyat yang ditekankan dalam kerangka Ekonomi MADANI, KWSP menyambut baik kelulusan Kerajaan untuk menambah baik program i- Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15% kepada 20%, tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi setiap individu.
Penambahbaikan ini, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025, dijangka memberi manfaat kepada lebih 330,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baharu. Pada separuh pertama tahun 2024, i-Saraan merekodkan jumlah caruman sebanyak RM1.61 bilion daripada 330,196 ahli – peningkatan sebanyak 103% daripada RM789.3 juta, serta peningkatan 56% dalam bilangan ahli daripada 211,361 dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.
Di samping itu, sebagai penghargaan terhadap sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara, kadar insentif padanan Kerajaan bagi program i-Suri sebanyak 50% daripada jumlah caruman tahunan akan dilanjutkan pada tahun 2025. Inisiatif ini adalah tertakluk kepada had maksimum insentif padanan Kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup, atau mencapai umur 55 tahun, mana-mana yang terdahulu. Dilancarkan pada 2018, i-Suri menggalakkan suri rumah yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih untuk menyimpan bagi keselamatan kewangan masa depan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Encik Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Penambahbaikan i- Saraan dan penerusan program i-Suri mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperkukuh keselamatan pendapatan persaraan rakyat Malaysia, seterusnya memastikan kebajikan jangka panjang semua rakyat Malaysia terpelihara.
“Dengan memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat, termasuk belia, golongan pekerja, wanita dan warga emas, Kerajaan sedang meletakkan asas bagi masa depan yang lebih saksama dan berdaya tahan. KWSP menyokong pendekatan ini yang sejajar dengan tujuannya untuk membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.
Mekanisme Pemindahan Antara Generasi Untuk Membolehkan Pemindahan Terus ke Dalam Akaun KWSP
Belanjawan 2025 juga mengumumkan bahawa KWSP sedang menilai semula skimnya bagi membenarkan pemindahan simpanan KWSP antara generasi oleh ahli kepada ahli keluarga terdekat mereka. Ini memberikan lebih fleksibiliti kepada ahli dalam merancang persaraan mereka dan kesejahteraan kewangan keluarga mereka.
Memperluaskan Liputan Mandatori KWSP kepada Pekerja Bukan Warganegara untuk Meningkatkan Keadilan dan Daya Saing Ekonomi
Pengumuman memperluaskan liputan mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara adalah sejajar dengan usaha KWSP untuk memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, mempunyai akses kepada perlindungan sosial.
Ahmad Zulqarnain berkata, “Inisiatif ini akan meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan selaras dengan piawaian antarabangsa.”
Pada masa ini, pekerja bukan warganegara boleh memilih untuk menyumbang kepada KWSP secara sukarela. Dasar baharu ini dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta pekerja bukan warganegara di Malaysia.
KWSP akan memberikan maklumat lanjut mengenai butiran kadar caruman, golongan sasar utama, dan mekanisme pelaksanaan dasar pada masa yang sesuai.
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial dan Perhubungan Media
Jabatan Hal Ehwal Korporat
21 Oktober 2024
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.