Tarikh: 13 Mac 2026
2,257 Pengarah Syarikat Dihalang Keluar Negara pada 2025 Akibat Tunggakan Caruman KWSP

KWASA DAMANSARA, 13 Mac 2026: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sehingga Disember 2025, seramai 14,332 pengarah syarikat telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia kerana gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja mereka. Ini berikutan penyerahan 2,257 nama baharu kepada Jabatan Imigresen Malaysia antara Januari hingga Disember 2025 di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Pada tahun 2025, KWSP turut memfailkan 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan jenayah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang gagal menunaikan caruman KWSP pekerja.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, “Semua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP. Majikan yang gagal memenuhi kewajipan yang ditetapkan untuk membayar caruman KWSP boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara.”

“Pasukan penguatkuasaan kami sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar dengan tepat dan pada masanya. Pembayaran caruman yang teratur pada masanya adalah penting bukan sahaja dalam melindungi hak pekerja, malah bagi memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas yang kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa rangka kerja KWSP juga memastikan majikan memenuhi tanggungjawab mereka untuk mencarum bagi simpanan persaraan pekerja. Tanpa mekanisme yang ditetapkan secara berkanun ini, pekerja mempunyai cara yang terhad untuk memastikan majikan mereka mencarum secara konsisten bagi simpanan persaraan mereka.

Dalam tempoh yang sama, KWSP telah menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan pekerja yang diterima, manakala 12,161 kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang. Setiap aduan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan hak ahli sebagai pekerja sentiasa dilindungi.

“KWSP akan terus mempergiat usaha penguatkuasaannya bagi memastikan majikan memenuhi kewajipan yang ditetapkan terhadap mereka. Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas bagi melindungi simpanan persaraan ahli yang terus menjadi keutamaan kami,” kata Sazaliza.

Ahli digesa untuk sentiasa menyemak akaun KWSP mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memastikan caruman majikan mereka dikreditkan tepat pada masanya dan dalam jumlah yang betul. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, ahli hendaklah segera menghubungi majikan bagi mendapatkan pengesahan. Jika majikan gagal membuat caruman yang ditetapkan, ahli boleh menghubungi atau mengunjungi mana-mana pejabat KWSP untuk membuat aduan, berserta dokumen sokongan seperti surat tawaran pekerjaan, slip gaji atau rekod lain yang berkaitan.

Di samping itu, KWSP juga menggalakkan majikan untuk menggunakan platform i-Akaun (Majikan) untuk menyemak senarai pekerja, caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka. Jika terdapat sebarang isu berkaitan tunggakan caruman, majikan boleh menghubungi atau hadir di mana-mana pejabat KWSP untuk menyelesaikannya.

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
13 Mac 2026

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama di Malaysia yang bertujuan membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia. Misi KWSP adalah untuk membantu ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa. KWSP telah beralih daripada sebuah organisasi yang berpaksikan transaksi kepada sebuah institusi pengurusan dana profesional yang berfokus kepada keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan berusaha untuk memupuk budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan ahlinya bagi meningkatkan tahap celik kewangan negara.