Tarikh: 11 Dis 2025
KWSP dan Jabatan Imigresen Perkasa Penguatkuasaan Caruman Mandatori Pekerja Bukan Warganegara

KWASA DAMANSARA, 11 Disember 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memeterai satu Nota Kerjasama strategik dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyokong pelaksanaan inisiatif caruman mandatori KWSP untuk pekerja bukan warganegara, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 oleh YAB Perdana Menteri pada 18 Oktober 2024. Sesi menandatangani Nota Kerjasama tersebut diadakan semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Kerjasama ini merupakan komponen penting dalam memastikan pematuhan majikan terhadap peruntukan Akta KWSP 1991. Melalui integrasi sistem antara KWSP dan JIM, kedua-dua pihak kini dapat berkongsi data secara lebih tepat dan selamat melibatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian serta pas sah lain yang membenarkan mereka bekerja di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin, berkata “Kerjasama ini meningkatkan keupayaan KWSP dan JIM dalam mengesahkan status pekerja, memperkukuhkan ketelusan dan mempercepat pendaftaran pekerja bukan warganegara. Ia adalah langkah penting dalam memastikan pelaksanaan caruman mandatori dipatuhi secara menyeluruh.”

Peningkatan Keupayaan Penguatkuasaan

Pengukuhan sistem dan aliran data ini membolehkan proses verifikasi dilaksanakan dengan lebih cekap, terutama dalam fasa pelaksanaan caruman mandatori KWSP yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025. Ia meningkatkan ketegasan dalam memastikan semua majikan mematuhi tanggungjawab statutori masing-masing.

Sehingga kini, sebanyak 1.3 juta pekerja telah berjaya mencarum melalui kira-kira 60,000 majikan. Data ini menunjukkan permulaan positif di kalangan majikan yang patuh dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, masih terdapat majikan yang gagal mematuhi keperluan caruman mandatori, sekali gus menjejaskan perlindungan sosial pekerja bukan warganegara mereka. KWSP menegaskan bahawa majikan yang masih belum melaksanakan caruman diwajibkan segera berbuat demikian bagi mengelakkan penalti dan tindakan undang-undang.  

Pematuhan Maklumat Pekerja

Bagi memastikan caruman dikreditkan dengan teratur, majikan juga diingatkan untuk menyediakan maklumat pekerja yang lengkap, termasuk nama penuh, nombor pasport dan nombor ahli KWSP.

  • Pendaftaran majikan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP.
  • Pekerja bukan warganegara yang memegang PLKS dan Pas Penggajian akan didaftarkan secara automatik tanpa perlu hadir ke KWSP.
  • Majikan boleh menyemak status pendaftaran pekerja melalui i-Akaun (Majikan).
  • Bagi kategori pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dibuat di pejabat KWSP seperti biasa.
  • Pekerja digalakkan melengkapkan pendaftaran cap ibu jari di pejabat KWSP mulai Januari 2026.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan caruman mandatori pekerja bukan warganegara boleh dirujuk melalui halaman khas di laman web KWSP.

“Kerjasama ini menandakan satu langkah penting ke arah memastikan dasar negara dilaksanakan dengan lebih berdisiplin, berintegriti dan cemerlang dari segi operasi, sekali gus memberikan manfaat jangka panjang kepada majikan, pekerja serta keseluruhan ekosistem penggajian,” kata Sazaliza.

 

Dikeluarkan oleh 
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
11 Disember 2025

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.