KWSP Perkukuh Kesiapsiagaan bagi Peluasan Liputan Caruman Mandatori kepada Pekerja Bukan Warganegara Malaysia

KWASA DAMANSARA, 25 Jun 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang mempergiat usaha libat urus dan rundingan bersama majikan serta pihak berkepentingan utama bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang menyeluruh menjelang pelaksanaan undang-undang baharu yang mewajibkan caruman KWSP untuk pekerja bukan warganegara Malaysia. Pelaksanaan undang-undang ini akan berkuat kuasa bermula gaji bulan Oktober 2025, iaitu bagi bulan caruman November 2025. Kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing ditetapkan pada 2% daripada gaji bulanan. Peluasan liputan caruman mandatori ini akan merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia (tidak termasuk orang gaji domestik*) yang mempunyai pasport dan pas kerja yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
KWSP telah melaksanakan lebih 30 sesi libat urus strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan sejak pengumuman Belanjawan 2025 mengenai caruman mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara Malaysia. Sesi-sesi ini merangkumi taklimat dan rundingan bersama Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), pertubuhan bukan kerajaan, serta wakil-wakil daripada kumpulan majikan dan pekerja asing.
Pendekatan menyeluruh sesi libat urus ini dapat memastikan keselarasan antara hala tuju dasar dan tahap kesiapsiagaan bagi menyokong pelaksanaan dasar baharu yang berkesan di seluruh ekosistem. Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja serta menyediakan maklumat yang jelas dan mudah diakses mengenai mekanisme pendaftaran majikan dan pekerja serta bayaran caruman.
Sehingga kini, caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara Malaysia adalah secara sukarela. Pelaksanaan caruman mandatori KWSP kepada kumpulan ini adalah satu langkah penting ke hadapan dalam menyokong agenda nasional untuk memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, mendapat akses kepada perlindungan sosial, sekali gus memupuk kesaksamaan dan keadilan dalam pasaran tenaga kerja.
Majikan dikehendaki untuk mendaftarkan syarikat dengan KWSP bagi memastikan peralihan yang lancar dan pematuhan terhadap peluasan liputan caruman mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara Malaysia. Pendaftaran majikan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.
Majikan dan semua pihak berkepentingan boleh merujuk halaman khusus di laman web KWSP dalam masa terdekat, yang berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi garis panduan pelaksanaan, soalan lazim serta makluman berkala. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-8922 6000.
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
25 Jun 2025
*Menurut Seksyen 3, Akta Pampasan Pekerja 1952, ‘orang gaji domestik’ merujuk kepada individu yang bekerja sebagai, antara lain: Pembantu rumah, Tukang masak, Tukang kebun, Tukang cuci, Pengasuh (babysitter), pemandu dan seumpamanya.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.