KWSP Umum Pelantikan Kepimpinan Utama
KWASA DAMANSARA, 1 Disember 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pelantikan Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) yang baharu, dan Ahmad Rizal Omar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO). Kedua-dua pelantikan ini berkuat kuasa mulai 1 Disember 2025.
Mohamad Hafiz menggantikan Rohaya Mohammad Yusof, yang telah menerajui Bahagian Pelaburan selama lebih lima tahun. Mohamad Hafiz telah berkhidmat di KWSP sejak 2008, memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan merentasi portfolio Ekuiti Persendirian, Pasaran Persendirian, Pasaran Modal dan Hartanah. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kwasa Land Sdn Bhd dari tahun 2020 hingga 2021. Dengan lebih 25 tahun pengalaman merangkumi bidang perakaunan, ekuiti persendirian dan pendapatan tetap, Mohamad Hafiz memiliki Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi) dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science; merupakan Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA); Pemegang Piagam Chartered Financial Analyst (CFA charterholder); dan telah mengikuti Advanced Management Programme di Harvard Business School. Pengalaman luas beliau merentasi Bahagian Kewangan dan Pelaburan, digabungkan dengan pengetahuan institusi yang mendalam, menjadikan beliau calon yang tepat untuk menerajui strategi pelaburan KWSP ke hadapan.
Ahmad Rizal, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Kewangan, menggantikan Mohamad Hafiz sebagai CFO. Beliau merupakan seorang akauntan bertauliah dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun. Ahmad Rizal memiliki Ijazah Sarjana Kewangan dari University of Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari Royal Melbourne Institute of Technology. Beliau membawa kepakaran dalam penilaian pelaburan, kewangan korporat dan pengurusan kewangan. Sebelum menyertai KWSP, beliau berkhidmat sebagai CFO di PLUS Malaysia Bhd serta memegang jawatan-jawatan kanan di Istanbul Sabiha Gökçen International Airport, Malaysia Airports Holdings Bhd, Khazanah Nasional Bhd dan Axiata Group Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, menyambut baik pelantikan-pelantikan tersebut dan berkata, “Mohamad Hafiz membawa pengalaman yang luas, kepimpinan yang mantap, serta pemahaman yang tinggi terhadap falsafah pelaburan jangka panjang KWSP. Latar belakang beliau dalam bidang pelaburan dan kewangan menempatkan beliau sebagai individu yang tepat untuk menerajui portfolio penting ini. Kami yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau, KWSP akan terus memberikan pulangan yang berdaya tahan dan mampan kepada ahli.
“Kami juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad Rizal atas pelantikan sebagai CFO yang baharu. Kepimpinan dan kepakaran kewangan beliau akan terus memperkukuh pengurusan kewangan dan tadbir urus KWSP.”
KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rohaya atas khidmat bakti dan kepimpinan cemerlang beliau.
“Bagi pihak KWSP, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rohaya atas sumbangan beliau sepanjang 17 tahun. Kepimpinan dan integriti beliau telah memperkukuh keupayaan pelaburan KWSP serta membantu melindungi simpanan persaraan ahli dalam tempoh yang mencabar dan transformasi. Kami mengucapkan terima kasih yang setulusnya dan mendoakan kejayaan beliau dalam fasa seterusnya,” tambah Ahmad Zulqarnain.
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
1 Disember 2025
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



