Branch visits in MCO and CMCO states via janji temu online only, members urged to transact online via i-Akaun
KUALA LUMPUR, 12 Januari 2021: Berikutan pengumuman Kerajaan untuk melaksanakan beberapa langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin mengumumkan langkah-langkah seperti berikut:
1. Bagi negeri-negeri yang melaksanakan PKP (Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Labuan) dan PKP Bersyarat (Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak dan Pahang), semua pejabat dan kaunter KWSP akan dibuka untuk janji temu SAHAJA, yang boleh dijadualkan melalui Janji Temu Online.
2. Semua kios KWSP akan beroperasi pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.
3. Untuk urusan berkaitan i-Sinar:
a. Ahli boleh melayari i-Sinar Online bagi permohonan Kategori 1 dan Kategori 2, semakan status permohonan, soalan lazim serta panduan pengguna.
b. Ahli boleh menghubungi talian hotline i-Sinar di talian 03 – 8922 4848 bagi pertanyaan umum.
c. Ahli boleh menjadualkan janji temu di mana-mana pejabat dan kaunter KWSP melalui Janji Temu Online bagi urusan lain.
4. Tarikh pembayaran caruman wajib KWSP kekal pada setiap 15 haribulan. Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman web KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter agen bank yang dilantik.
Ketika negara memasuki fasa baharu kawalan pergerakan untuk mengawal penularan COVID-19 yang kian serius, KWSP amat menggalakkan ahli untuk berurusan secara dalam talian melalui i-Akaun untuk perkhidmatan tertentu agar mengurangkan keperluan untuk hadir di cawangan, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan.
Jika ada keperluan untuk hadir di cawangan, KWSP memohon kerjasama semua pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan seperti menjalani pemeriksaan suhu, mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis dan mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis KWSP.
KWSP amat menghargai pertimbangan dan kerjasama daripada ahli. Dalam persekitaran semasa yang tidak menentu ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua ahli sama ada melalui perkhidmatan kaunter atau saluran digital. Sebarang perubahan terhadap operasi KWSP akan dimaklumkan kelak. Segala kesulitan amatlah dikesali.
Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my.
Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
12 Januari 2021
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.