Belanjawan 2024 Mengutamakan Kesejahteraan Persaraan, Menjamin Masa Depan Rakyat Malaysia
KWASA DAMANSARA, 16 Oktober 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober 2023 bagi menangani beberapa perkara yang dibangkitkan oleh KWSP berkenaan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Belanjawan 2024 mencerminkan satu langkah penting ke hadapan dalam mengutamakan keselamatan kewangan dan kemakmuran penduduk kita yang semakin menua. Dengan usaha bersepadu dalam memperkukuhkan sumber dan peruntukan persaraan, Belanjawan ini menyerlahkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan maruah dan keselesaan rakyat.
“Kesejahteraan hari tua rakyat kekal sebagai salah satu keutamaan Kerajaan, berikutan tahap perlindungan yang rendah di bawah skim pencen dan persaraan yang formal dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada masa ini, hanya 60% daripada tenaga buruh di Malaysia dilindungi di bawah skim persaraan formal, iaitu Skim KWSP untuk pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam untuk penjawat awam,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.
Beliau menambah bahawa tahap simpanan yang rendah dalam kalangan ahli KWSP juga perlu ditangani bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bersara dengan selesa dan bermakna pada hari tua. Oleh itu, adalah penting agar keadaan semasa dapat ditangani dengan merapatkan jurang simpanan dan liputan yang wujud dalam sistem pencen dan persaraan di Malaysia.
Sorotan utama Belanjawan 2024 termasuk:
1. Penambahbaikan dan pelanjutan program i-Saraan melangkaui tahun 2023
KWSP mengalu-alukan inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Saraan daripada RM300 kepada RM500 setahun. Selain itu, program i-Saraan juga akan ditambah baik di mana rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal, termasuk golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, di bawah umur 60 tahun yang mencarum secara sukarela kepada i-Saraan akan berpeluang menerima insentif maksimum seumur hidup sebanyak RM5,000 setiap individu, tertakluk kepada had RM500 setahun. Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 350,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baru.
2. Memperluas program i-Sayang kepada suami
Mulai tahun 2024, program i-Sayang akan diperluaskan untuk turut membolehkan isteri yang bekerja memindahkan 2% daripada caruman KWSP bulanan mereka (syer pekerja) ke akaun KWSP suami mereka. Program i-Sayang, yang dilancarkan pada Mac 2023, membolehkan suami memperuntukkan 2% daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka. Sejak program ini dilancarkan, lebih kurang 34,000 suami telah menyertai program i-Sayang yang melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM14.7 juta.
3. Melanjutkan program i-Suri dan memperkenalkan caruman padanan dan amaun insentif maksimum kepada golongan suri rumah
Bagi menghargai sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara, Kerajaan berhasrat untuk melanjutkan program i-Suri, di mana Kerajaan akan memberikan insentif caruman padanan bagi setiap ringgit yang dicarumkan ke dalam Skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih. Sehubungan dengan itu, peserta i-Suri juga berpeluang untuk menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu, tertakluk kepada insentif padanan sebanyak RM300 setahun.
4. Penstrukturan semula Akaun KWSP
Selaras dengan fenomena penuaan yang pesat dan landskap kerja yang semakin berkembang ke arah tidak formal di Malaysia, KWSP sentiasa mengkaji semula Skim KWSP untuk memastikan ahli KWSP boleh memenuhi keperluan kitaran hidup tanpa menjejaskan simpanan mereka bagi tujuan persaraan kelak. Oleh itu, bagi membantu ahli mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang, akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasakan lagi simpanan persaraan demi kesejahteraan hari tua. Pada masa yang sama, KWSP juga akan memperkenalkan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata KWSP yakin dan percaya bahawa inisiatif ini dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga.
“Sebagai sebuah dana persaraan, KWSP menyokong dan akan bekerjasama dengan Kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani untuk memastikan kehidupan persaraan rakyat Malaysia terjamin,” kata Datuk Seri Amir Hamzah, dan menambah bahawa inisiatif yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 adalah tertakluk kepada kelulusan Parlimen.
Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
16 Oktober 202
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.