Tarikh: 20 Apr 2021
Penjelasan Mengenai Mesej WhatsApp Viral Tentang Umur Maksimum Pembayaran Dividen

KUALA LUMPUR, 20 April 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin menjelaskan bahawa kenyataan lama mengenai pembayaran dividen KWSP sehingga umur 75 tahun yang kini sedang tersebar terutamanya melalui aplikasi mudah alih WhatsApp, adalah tidak lagi terpakai.

Seperti yang diumumkan oleh KWSP dalam satu kenyataan media bertarikh 3 November 2016, berkuatkuasa 1 Januari 2017, ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun.

Langkah ini diperkenalkan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991, yang bertujuan membolehkan ahli yang memilih untuk mengekalkan simpanan di KWSP selepas persaraan untuk terus memanfaatkan gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan oleh ahli.

KWSP akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut. Sebarang tuntutan selepas pemindahan tersebut boleh dibuat melalui Pendafter Wang Tidak Dituntut.

KWSP menasihati ahli supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial, dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat tersebut. Ahli juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi atau mewawarkan maklumat yang tidak sahih.

Ahli digalakkan untuk rujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, kunjungi laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 untuk mendapatkan maklumat sahih.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
20 April 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.