Date: 19 Ogos 2023
KWSP Umum Pemenang Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2022

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa sebanyak 15 anugerah telah disampaikan kepada pengurus dana luaran bagi mengiktiraf prestasi mereka dalam menguruskan portfolio KWSP untuk tahun 2022. Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP ini yang telah memasuki tahun ke-21, meraikan dan mengiktiraf pencapaian barisan pengurus dana luaran KWSP mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak RM160.24 billion telah disalurkan kepada pengurus dana luaran untuk dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, yang mewakili 16.12% daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “Walaupun 2022 merupakan tahun yang sukar disebabkan oleh ketidaktentuan dan ketegangan geopolitik yang berterusan, panel pengurus dana luaran KWSP telah berjaya menghasilkan pulangan yang memuaskan mengikut objektif dan jangkaan KWSP untuk tahun tersebut. Pengurus-pengurus dana ini telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi aset KWSP, dan seiring dengan pertumbuhan aset KWSP, ia akan meneruskan strategi kepelbagaian ini akan diteruskan dengan memanfaatkan kemahiran mereka bagi melengkapkan keupayaan pengurusan dana dalaman KWSP sendiri.”

Bagi tahun kewangan berakhir 2022, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.35% dengan pembayaran RM45.44 bilion untuk Simpanan Konvensional, dan 4.75% dengan pembayaran RM5.70 bilion untuk Simpanan Shariah. Secara kumulatif, jumlah pembayaran untuk 2022 ialah RM51.14 bilion.

Pelaburan KWSP di dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza juga membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap turun naik pasaran serta melindungi pulangan pelaburannya. Sehingga Jun 2023, saiz aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.08 trilion, sekaligus meletakkan KWSP sebagai salah satu daripada 10 dana persaraan terbesar di dunia. Pada tahun hadapan, KWSP akan terus meneroka mandat dan strategi baharu untuk pelaburan global dan domestik.

Tan Sri Ahmad Badri berkata bahawa kemampanan kekal sebagai aspek utama dalam strategi pelaburan KWSP, dan komited terhadap dua sasaran pelaburan mampannya iaitu memiliki Portfolio Pematuhan ESG sepenuhnya menjelang 2030; dan Portfolio Neutral Iklim menjelang 2050.

“Sejak pelancaran ulung Dasar Pelaburan Mampan KWSP pada Mac 2021, kami telah mula menyepadukan polisi tersebut merentas semua portfolio pelaburan kami, termasuk yang diuruskan oleh pengurus dana luaran. Pada tahun ini, kami telah meningkatkan parameter penilaian selaras dengan Polisi Pelaburan Mampan KWSP serta memastikan pengurus dana mengikuti perkembangan semasa berkaitan Pelaburan Mampan.

“Keupayaan KWSP dalam menetapkan toleransi terhadap risiko dan jangkaan pertumbuhan KWSP telah menyumbang kepada hasil pelaburan yang bukan sahaja berhemah dari segi kewangan, tetapi juga sejajar dengan prinsip etika dan mampan KWSP. Oleh itu, kami komited dalam mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada pengurus dana atas prestasi baik mereka sepanjang tahun lalu yang telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dan seterusnya, kepada kesejahteraan persaraan ahli kami,” tambah Tan Sri Ahmad Badri.

 

ANUGERAH PENGURUS DANA LUARAN KWSP 2022

 

KATEGORI 1: ANUGERAH PENGURUS DANA LUARAN KWSP UNTUK SEMUA MANDAT (EKUITI DAN PENDAPATAN TETAP)

Kategori 1: Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP untuk Semua Mandat (Ekuiti dan Pendapatan Tetap)
NO. AWARDS WINNERS
1 Best International Equity Fund Manager for MSCI Ethical Asia (ex Japan ex Malaysia) 2022 abrdn Malaysia Sdn Bhd
2 Best International Equity Fund Manager for MSCI Shariah Asia (ex Japan ex Malaysia) 2022 Amundi Aalam Sdn Bhd
3 Best International Equity Fund Manager for FTSE Ethical World Developed 2022 BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd
4 Best International Equity Fund Manager for FTSE Shariah World Developed 2022 BNP Paribas Asset Management Najmah Malaysia Sdn Bhd
5 Best International Equity Fund Manager for MSCI EM Latin America 2022 Principal Asset Management Berhad
6 Best International Equity Fund Manager for Factor Investing 2022 Dimensional Fund Advisors Pte. Ltd.
7 Best Domestic Equity Fund Manager (Conventional) 2022 Pheim Asset Management Sdn Bhd
8 Best Domestic Equity Fund Manager (Shariah) 2022 AIIMAN Asset Management Sdn Bhd
9 Best Global Bond Fund Manager 2022 Amundi Malaysia Sdn Bhd
10 Best Global Sukuk Fund Manager 2022 BNP Paribas Asset Management Najmah Malaysia Sdn Bhd

 

KATEGORI 2: ANUGERAH PENGURUS DANA LUARAN KWSP UNTUK KELAS ASET EKUITIT DAN PENDAPATAN TETAP DOMESTIK DAN GLOBAL

Kategori 2: Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP untuk Kelas Aset Ekuiti dan Pendapatan Tetap Domestik dan Global
NO. AWARDS WINNERS
1 Best EPF Global Equity Fund Manager 2022 Amundi
2 Best EPF Domestic Equity Fund Manager 2022 AHAM Capital Asset Management
3 Best EPF Global Fixed Income Fund Manager 2022 Franklin Templeton
4 Best EPF Domestic Fixed Income Fund Manager 2022 AmInvest
5 Best EPF Equity & Fixed Income External Fund Manager 2022 Amundi

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
19 Ogos 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.