Tarikh: 12 Okt 2020
Kwsp Anjur Rundingan Awam Untuk Mendapatkan Maklum Balas Bagi Menambah Baik Skim Persaraan

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2020: Menyedari tentang keperluan dan kehendak ahli yang sentiasa berubah, terutamanya dalam persekitaran masa kini yang tidak menentu dan tiada kepastian, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempelawa semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020.

Kaji selidik dalam talian yang berlangsung selama lapan minggu bermula 8 Oktober 2020 ini adalah sejajar dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, di samping melindungi simpanan mereka dan memberikan perkhidmatan yang terbaik. Bagi mencapai matlamat ini, KWSP berharap untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat yang boleh membantu dalam membangun, menambah baik dan merangka semula skim KWSP yang memenuhi keperluan masa hadapan.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein ​​berkata, “Kami maklum bahawa keperluan ahli berubah mengikut faktor kehidupan semasa, usia atau kemajuan kerjaya mereka. Selain keperluan ahli, landskap pekerjaan dan budaya kerja juga telah berubah dengan penggunaan teknologi dan keadaan ekonomi. Justeru, sudah tiba masanya untuk kami mengkaji semula skim KWSP dan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, kami perlu mendapatkan maklum balas orang ramai.

“Kesejahteraan ahli adalah penting bagi kami dan kami percaya bahawa kaedah terbaik untuk memberi perkhidmatan yang terbaik adalah dengan mendapatkan maklum balas orang ramai, termasuk ahli warganegara Malaysia dan bukan warganegara. Kami ingin tahu pendapat mereka tentang bagaimana KWSP boleh menambaik baik atau memberikan perkhidmatan yang lebih baik”.

Nurhisham menambah, “Kali terakhir kami melakukan kaji selidik adalah pada tahun 2015 dan ia merupakan rundingan awam terbesar yang pernah dilakukan di Malaysia ketika itu. Kami ingin menekankan bahawa maklum balas orang ramai tersebut adalah penting kerana maklumat yang diterima adalah asas kepada perubahan dan penambahbaikan berikutnya yang dilaksanakan. Menjelang tahun 2021, kami merasakan sudah sampai waktunya untuk melakukan kaji selidik yang baharu agar kami lebih memahami keperluan orang ramai dan dapat membantu mereka bersedia untuk waktu persaraan”.

Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 bertujuan untuk:

  • Mendapatkan pandangan dan pendapat orang ramai berkenaan Skim KWSP sedia ada dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan
  • Memahami keperluan ahli dan bakal ahli sebelum dan selepas bersara.
  • Memperkukuh aspek hala tuju dan strategi dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap skim KWSP serta produk dan perkhidmatannya.

Nurhisham juga berkata, "Fokus kaji selidik ini adalah hal-hal yang telah dibangkitkan oleh ahli untuk perhatian kami dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun kami telah melakukan yang terbaik melalui pelbagai inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan, kami merasakan bahawa kami boleh melaksanakannya dengan lebih baik lagi dengan mengemukakan soalan yang lebih spesifik berkaitan dengan aspirasi ahli kami. Untuk itu, kaji selidik tahun ini merangkumi soalan berkaitan caruman, pengeluaran, dividen, dan struktur akaun KWSP. Kami ingin menekankan bahawa kaji selidik ini adalah untuk orang ramai, sama ada mereka merupakan pencarum KWSP atau tidak, kerana kami ingin mendengar pendapat dari semua pihak untuk merancang skim KWSP yang inklusif dan mampan.”

Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 ini dibuka hingga 30 November 2020 kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang bekerja di negara ini.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
12 Oktober 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.