Tarikh: 15 Okt 2021
Sistem e-Payroll KWSP Terima Anugerah Inovasi World Pension Summit 2021

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerima Anugerah Inovasi daripada Pensions & Investments WorldPensionSummit 2021 untuk kategori Teknologi untuk sistem e-Payroll KWSP semasa majlis penyampaian anugerah yang diadakan pada 12-14 Oktober 2021.

Anugerah tersebut telah disampaikan semasa Persidangan WorldPensionSummit di The Hague, Netherlands, bagi mengiktiraf inovasi dalam komunikasi, rekabentuk pelan, teknologi, dan pelaburan. Sistem e-Payroll KWSP dibangunkan khas untuk membantu perusahaan kecil sederhana (PKS) yang menggunakan i- Akaun (Majikan) tetapi tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya. 

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “Kami amat berbesar hati menerima anugerah antarabangsa ini kerana ia mengiktiraf dan mengesahkan inisiatif e-Payroll KWSP dalam menyediakan penyelesaian digital untuk menaiktaraf perkhidmatan yang boleh memanfaatkan ahli dan majikan.”

“Sebagai sebuah institusi keselamatan sosial, amat penting untuk KWSP memainkan peranan dalam membantu mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil sederhana serta menambahbaik jaringan persaraan di Malaysia semasa pandemik COVID-19.”

Dilancarkan pada Jun 2021, e-Payroll KWSP membantu majikan menyimpan rekod pekerja mereka secara digital, seterusnya dapat meningkatkan kecekapan proses dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk menguruskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan kewajipan berkanun.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pandemik ini telah mempercepatkan penggunaan teknologi digital, dan kerana KWSP menguruskan pengkalan data ahli dan majikan yang sangat besar setiap hari, adalah sangat penting untuk kami meningkatkan inisiatif untuk mendigitalisasikan produk dan perkhidmatan KWSP untuk kecekapan operasi dan kos.”

Beliau menambah bahawa pengiktirafan oleh WorldPensionSummit akan menjadi dorongan kepada KWSP untuk terus berinovasi dan memberikan tahap perkhidmatan tertinggi di samping memenuhi jangkaan ahli dan majikan.

Ini merupakan anugerah kedua yang diterima daripada WorldPensionSummit selepas merangkul anugerah 2016 Innovation Communication untuk Khidmat Nasihat Persaraan (RAS).

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
15 Oktober 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.