Tarikh: 23 Apr 2020
KWSP Lancar e-Cap Bagi Menyokong PKS Yang Terjejas Akibat Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 April 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) untuk memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik global COVID-19.  

Program ini memberi fleksibiliti kepada majikan yang layak memilih untuk membuat permohonan penangguhan dan penstrukturan semula caruman syer majikan bagi bulan caruman April, Mei dan atau Jun 2020. Bayaran untuk caruman tertangguh bagi bulan yang dipilih boleh dijelaskan dalam tempoh maksimum tiga bulan.  
 
Sebagai contoh, untuk PKS yang memilih untuk memohon penangguhan caruman bulan April, bayaran penstrukturan semula akan bermula dari bulan Julai 2020 sehingga tempoh maksimum tiga bulan berakhir pada September 2020. Untuk PKS yang memohon untuk menangguhkan caruman bulan Mei, bayaran penstrukturan semula untuk bulan tersebut akan bermula dari bulan Ogos 2020 sehingga Oktober 2020, sementara untuk PKS yang memohon untuk menangguhkan caruman bulan Jun, bayaran penstrukturan semula akan bermula dari bulan September 2020 sehingga November 2020. Majikan boleh memohon kemudahan eCAP melalui i-Akaun (Majikan) bermula hari ini. 
 
Majikan yang berminat untuk menangguh dan menstruktur semula bayaran untuk dua atau tiga bulan juga perlu memastikan bahawa permohonan untuk bulan sebelumnya telah diluluskan sebelum membuat permohonan baharu.   
 
Kemudahan e-CAP ini melengkapkan beberapa inisiatif lain yang dilancarkan oleh KWSP bagi membantu ahli, mengekalkan mata pencarian mereka serta memberi sokongan kepada perniagaan,  yang merangkumi inisiatif pengurangan bayaran caruman syer pekerja daripada sebelas (11) peratus kepada tujuh (7) peratus, pengeluaran simpanan dalam Akaun 2 iaitu Pengeluaran i-Lestari dan pelanjutan tempoh untuk majikan membayar caruman syer majikan bagi bulan April 2020 ke hujung bulan ini. 
 
Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, “Langkah-langkah ketat yang tidak dapat dielakkkan, dan telah diambil oleh negara kita bagi membendung wabak ini telah memberikan impak kepada kelangsungan aktiviti ekonomi tempatan. Kita dapat melihat bahawa PKS mudah terdedah kepada kekangan aliran tunai dan kebanyakannya mungkin tidak dapat bertahan untuk beberapa bulan yang akan datang. PKS merupakan teras ekonomi Malaysia, menyumbang sebanyak RM522 bilion kepada KDNK dan memberi jumlah pekerjaan terbanyak untuk pasaran buruh tempatan. PKS mewakili 99 peratus daripada jumlah keseluruhan majikan yang berdaftar dengan KWSP dan menggaji seramai 7.6 juta pekerja. Justeru, negara kita tidak boleh membiarkan  PKS gagal untuk beroperasi dengan baik kerana situasi ini akan memberi impak yang meluas ke seluruh negara, terutamanya kepada syarikatsyarikat besar yang akan menghadapi gangguan dalam rantaian bekalan dan kepada individu-individu yang mungkin akan kehilangan pekerjaan.” 
 
“Diharapkan kemudahan e-CAP akan dapat membantu PKS yang terkesan dapat menyalurkan kembali aliran tunai ke dalam perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan selama yang boleh. Sebagai usaha tambahan, KWSP juga akan menawarkan khidmat nasihat kepada semua majikan tempatan melalui Khidmat Nasihat Majikan. Pegawai yang ditugaskan akan membincangkan dan menguruskan pelan yang sesuai berdasarkan keperluan anda bagi memenuhi tanggungjawab sebagai majikan.” 
 
Majikan perlu memenuhi kriteria kelayakan berikut untuk memohon kemudahan e-CAP: 

  • Menggaji 200 orang pekerja atau kurang 
  • Memastikan semua bayaran caruman (syer majikan dan pekerja) setakat caruman bulan Februari 2020 (gaji bulan Januari 2020) adalah teratur  
  • Memastikan majikan telah menyelesaikan bayaran caruman syer pekerja sepenuhnya untuk bulan yang dimohon (April, Mei dan Jun)    

KWSP juga mengingatkan majikan yang ingin memohon kemudahan e-CAP bahawa dividen untuk caruman yang tertangguh masih dikenakan, tetapi  KWSP akan memberi pertimbangan untuk pengecualian atau pengurangan caj lewat bayar berdasarkan keperluan sesuatu kes. 
 
Alizakri berkata, “Kita berharap agar pandemik ini akan cepat berakhir dan keadaan akan kembali pulih  untuk  perniagaan kembali beroperasi seperti sediakala. Walaupun kesan ekonomik jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang belum dapat dipastikan, diharapkan semua kemudahan yang ditawarkan oleh KWSP dalam jangka pendek akan membantu individu dan keluarga memenuhi keperluan asas bagi meneruskan kehidupan dan membantu perniagaan untuk beroperasi. Walau bagaimanapun, kita juga harus sedar bahawa simpanan KWSP ahli adalah komponen penting persaraan untuk memastikan kesejahteraan mereka pada masa depan.” 
 
“Kami ingin meyakinkan para ahli dan majikan bahawa KWSP akan terus memenuhi mandatnya dan memainkan peranan dalam mencari keseimbangan yang terbaik di antara memenuhi keperluan semasa dan memastikan ketersediaansimpanan persaraan ahli.” 

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
23 April 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.