Tarikh: 19 Ogos 2019
KWSP Lancar Saluran Dalam Talian i-Invest Untuk Pelaburan Unit Amanah Secara Terus Dari Akaun KWSP

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa ahli yang layak kini boleh membuat pelaburan dalam dana unit amanah yang ditawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan oleh KWSP menggunakan saluran layan diri dalam talian i-Invest melalui i-Akaun (Ahli).

Untuk ahli di bawah umur 55 tahun, pelaburan boleh dilakukan secara terus menggunakan sebahagian daripada jumlah simpanan yang layak dipindahkan dari Akaun 1 dan akan dikenakan caj jualan serendah sifar hingga 0.5% untuk setiap transaksi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, “Kami sangat teruja untuk memperkenalkan i-Invest kerana kemudahan digital ini memberi kuasa kepada ahli kami untuk mengawal pelaburan mereka serta kos transaksi hampir sifar.

“Bagi memastikan ahli kami mendapat maklumat secukupnya, i-Invest berfungsi membantu ahli dalam mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan antara dana unit amanah, seterusnya membantu ahli memilih dana yang sesuai dengan sasaran pelaburan mereka.  Ini merupakan suatu kebanggaan kerana kami percaya KWSP adalah yang pertama di dunia yang menghasilkan pautan terus antara simpanan persaraan ahli dengan kemudahan pelaburan dalam talian.”

Kemudahan i-Invest menyediakan fungsi yang fleksibel dan mudah untuk ahli membuat pelaburan, transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.  Ia juga membolehkan ahli membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, selain memantau pelaburan mereka melalui i-Akaun dan mendapatkan maklumat berkaitan kos pelaburan, prestasi pelaburan dan sebarang maklumat berkanun yang diperlukan.

Tunku Alizakri berkata elemen penting dalam kemudahan pelaburan dalam talian ini adalah caj jualan yang hampir percuma berikutan langkah KWSP dalam meletakkan had sehingga 0.5% sahaja, berbanding caj 3% ke atas transaksi sekiranya ia dilakukan di luar talian atau melalui ejen. 
Beliau menyarankan ahli yang berminat untuk menggunakan i-Invest untuk mengambil langkah waspada dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan menasihatkan mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat atau pendapat perunding profesional sebelum membuat sebarang transaksi.

Ahli boleh memindahkan daripada Akaun 1 sehingga 30% daripada jumlah melebihi Simpanan Asas mengikut umur masing-masing untuk dilaburkan dalam dana yang layak.  Ahli juga boleh membuka akaun untuk membuat pelaburan di dalam dana unit amanah melalui mana-mana IPD menggunakan kemudahan i-Invest.

Ahli berumur 55 tahun ke atas juga boleh menggunakan i-Invest dengan membuat pengeluaran simpanan daripada Akaun 55 atau Akaun Emas melalui i-Akaun, tertakluk kepada mengekalkan baki minimum RM1,000 dalam akaun mereka. 

KWSP mengenakan garis panduan yang ketat kepada IPD untuk dituruti bagi memelihara integriti skim ini dan kepentingan ahli yang menyertai skim ini, serta memastikan IPD memikul tugasan mereka secara berhemah dan bertanggungjawab.

Untuk tempoh 2019/2020, sebanyak 389 dana daripada pelbagai kategori, iaitu ekuiti, asset campuran, pasaran wang dan amanah hartanah, telah diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.