KWSP Lancar Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan
KWASA DAMANSARA, 12 Disember 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA ), bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemaskini tahap simpanan yang disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap. Inisiatif ini dibangunkan untuk menggalakkan keselamatan kewangan dan memastikan masa depan persaraan yang sejahtera bagi semua rakyat Malaysia.
Sejak tahun 2019, KWSP bersama Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial (SWRC) di Universiti Malaya telah membangunkan Panduan Belanjawanku bagi menganggarkan perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk mencapai standard kehidupan yang wajar. Di peringkat awal, panduan ini hanya tertumpu kepada kawasan Lembah Klang, tetapi kini telah diperluaskan meliputi 11 bandar utama lain di Malaysia dan dikemas kini setiap tahun bagi mencerminkan kos sara hidup semasa. Panduan ini menjadi panduan praktikal bagi isi rumah dan rujukan yang bernilai kepada pembuat dasar. Panduan Belanjawanku turut menjadi rujukan kepada semakan jumlah Simpanan Asas KWSP dan pembangunan Rangka Kerja RIA baharu, yang dibuat berdasarkan kerangka Simpanan Asas yang diperkenalkan pada 2008.
Rangka Kerja RIA Bantu Ahli Tetapkan Sasaran Simpanan
Bakal dilancarkan pada Januari 2026, Rangka Kerja RIA membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza. Pendekatan ini menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan, membantu ahli memahami simpanan yang mereka perlukan untuk menyara diri di usia persaraan.
Rangka Kerja RIA memperkenalkan kerangka simpanan tiga tahap:
- Simpanan dan Pendapatan Asas, untuk menampung keperluan persaraan yang penting;
- Simpanan dan Pendapatan Mencukupi, untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa persaraan; dan
- Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat, untuk menyokong keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi untuk kualiti hidup yang lebih baik.
Rangka Kerja RIA menumpukan kepada konsep simpanan dan jaminan pendapatan persaraan. Berdasarkan Belanjawanku 2024/2025, seorang warga emas tiada pasangan memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan (“Pendapatan Persaraan Mencukupi”) untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara.
Rangka Kerja RIA dengan tiga tahap baharu akan disandarkan pada Pendapatan Persaraan Mencukupi seperti yang ditentukan dalam Belanjawanku dari semasa ke semasa:
- Tahap Simpanan Mencukupi: Disandarkan kepada perbelanjaan bulanan bagi Warga Emas Bujang di Lembah Klang sepertimana dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025, iaitu sebanyak RM2,690 sebulan, bagi tempoh 240 bulan (selaras dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia) dan dibundarkan kepada RM10,000 berikutnya, bersamaan dengan RM650,000.
- Tahap Simpanan Asas: 60% daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM390,000).
- Tahap Simpanan Dipertingkatkan: 200% daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM1.3 juta).
Rangka kerja ini menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun, sejajar dengan purata jangka hayat di Malaysia. Sebagai gambaran, tahap simpanan yang berbeza akan diterjemahkan seperti berikut pada Umur Persaraan:
- Tahap Simpanan Mencukupi (RM650,000): Membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 di tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun 20.
- Tahap Simpanan Asas (RM390,000): Menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 di tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun 20.
- Tahap Simpanan Dipertingkatkan (RM1.3 juta): Menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun 20 untuk persaraan yang lebih selesa.
Tempoh Peralihan untuk Tahap Simpanan Asas Baharu
Bagi memastikan peralihan yang lancar, tahap Simpanan Asas semasa, iaitu pada RM240,000, akan dinaikkan secara berperingkat sebanyak RM30,000 setiap tahun bagi tempoh lima tahun, seperti berikut:
- RM270,000 pada umur 60 tahun, mulai 1 Januari 2026
- RM300,000 pada umur 60 tahun, mulai 1 Januari 2027
- RM330,000 pada umur 60 tahun, mulai 1 Januari 2028
- RM360,000 pada umur 60 tahun, mulai 1 Januari 2029
- RM390,000 pada umur 60 tahun, mulai 1 Januari 2030
Pelarasan di Masa Hadapan untuk Mencerminkan Kos Sara Hidup
Tahap simpanan di bawah Rangka Kerja RIA akan disemak setiap lima (5) tahun dan dikemaskini sewajarnya berdasarkan Panduan Belanjawanku. Ini adalah bagi memastikan Rangka Kerja RIA terus relevan dengan keadaan semasa, dengan mengambil kira kesan inflasi dan perubahan ekonomi.
Fleksibiliti untuk Ahli dengan Simpanan Lebihan
Polisi pengeluaran bagi simpanan melebihi RM1 juta, yang menawarkan fleksibiliti untuk ahli menguruskan dana lebihan mereka, akan diselaraskan dengan tahap Simpanan Dipertingkatkan. Peralihan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan peningkatan sebanyak RM100,000 setahun seperti berikut:
- RM1.1 juta mulai 1 Januari 2026
- RM1.2 juta mulai 1 Januari 2027
- RM1.3 juta mulai 1 Januari 2028
Selain itu, di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA), ahli boleh memindahkan sehingga 30% daripada simpanan dalam Akaun Persaraan mereka yang melebihi tahap Simpanan Asas berdasarkan umur, kepada dana yang diuruskan oleh Institusi-institusi Pengurusan Dana yang dilantik KWSP. Pindahan ini adalah berdasarkan jadual Simpanan Asas Baharu dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 (Jadual 1).
Jadual 1: Tahap Baharu Bagi Simpanan Asas, Mencukupi dan Dipertingkatkan
| Umur | Simpanan Asas Baharu RM390,000 pada umur 60 |
Simpanan Mencukupi RM650,000 pada umur 60 |
Simpanan Dipertingkatkan RM1,300,000 pada umur 60 |
|---|---|---|---|
| 18 | 1,400 | 1,500 | 2,500 |
| 19 | 1,700 | 1,800 | 3,100 |
| 20 | 2,200 | 2,300 | 3,900 |
| 21 | 2,800 | 3,000 | 5,000 |
| 22 | 5,800 | 6,400 | 10,800 |
| 23 | 9,200 | 10,100 | 16,700 |
| 24 | 12,300 | 14,100 | 24,300 |
| 25 | 15,900 | 19,000 | 30,700 |
| 26 | 19,800 | 23,400 | 40,900 |
| 27 | 23,800 | 28,600 | 51,200 |
| 28 | 28,300 | 34,500 | 62,800 |
| 29 | 33,000 | 40,700 | 72,800 |
| 30 | 38,000 | 47,500 | 85,400 |
| 31 | 43,400 | 54,800 | 99,100 |
| 32 | 49,100 | 62,700 | 114,000 |
| 33 | 55,100 | 71,200 | 129,000 |
| 34 | 61,400 | 80,300 | 147,000 |
| 35 | 68,100 | 90,000 | 165,000 |
| 36 | 75,100 | 100,000 | 185,000 |
| 37 | 82,600 | 111,000 | 206,000 |
| 38 | 90,400 | 123,000 | 229,000 |
| 39 | 98,600 | 136,000 | 253,000 |
| 40 | 107,000 | 149,000 | 279,000 |
| 41 | 116,000 | 164,000 | 305,000 |
| 42 | 125,000 | 179,000 | 336,000 |
| 43 | 135,000 | 195,000 | 368,000 |
| 44 | 145,000 | 213,000 | 402,000 |
| 45 | 156,000 | 231,000 | 438,000 |
| 46 | 167,000 | 250,000 | 476,000 |
| 47 | 179,000 | 271,000 | 516,000 |
| 48 | 191,000 | 292,000 | 559,000 |
| 49 | 204,000 | 315,000 | 606,000 |
| 50 | 217,000 | 339,000 | 652,000 |
| 51 | 231,000 | 364,000 | 703,000 |
| 52 | 246,000 | 390,000 | 757,000 |
| 53 | 261,000 | 417,000 | 813,000 |
| 54 | 277,000 | 446,000 | 873,000 |
| 55 | 294,000 | 476,000 | 935,000 |
| 56 | 312,000 | 508,000 | 1,000,000 |
| 57 | 330,000 | 541,000 | 1,070,000 |
| 58 | 349,000 | 576,000 | 1,140,000 |
| 59 | 369,000 | 612,000 | 1,220,000 |
| 60 | 390,000 | 650,000 | 1,300,000 |
Setakat Oktober 2024, sekitar 36% ahli KWSP yang aktif formal melepasi tahap Simpanan Asas sedia mengikut umur, disandarkan pada RM240,000 di umur 55. Walaupun peratusan ini mungkin menerima kesan daripada penanda aras baharu ini dalam jangka sederhana, pelarasan ini penting untuk meletakkan simpanan ahli seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan umur persaraan semasa di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Encik Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, “Panduan Belanjawanku dan Rangka Kerja RIA adalah asas kepada tujuan KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Panduan ini membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah, sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi.
“Dengan menyediakan gambaran komprehensif mengenai perbelanjaan bulanan dan memperkenalkan penanda aras simpanan yang baharu, kami berhasrat untuk membimbing ahli mencapai persaraan yang bermakna. Inisiatif ini menunjukkan komitmen utuh KWSP untuk menyesuaikan organisasi dengan realiti sosioekonomi yang berubah-ubah dan kekal relevan pada objektif di samping memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam merancang masa depan yang sejahtera,” tambah beliau.
Panduan Belanjawanku 2024/2025 boleh dimuat turun secara percuma dari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. Aplikasi Belanjawanku juga boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store, Google Play, dan Huawei App Gallery.
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
12 Disember 2024
Nota: Tempoh semakan bagi RIA telah dikemas kini kepada lima (5) tahun, dan peralihan kepada Tahap Simpanan Asas yang baharu juga akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, dengan peningkatan tahunan sebanyak RM30,000, berdasarkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



