Maklum Balas KWSP Terhadap Belanjawan 2020
KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pembentangan Belanjawan 2020 mengambil kira perubahan-perubahan pantas demografik, definisi kerja, persekitaran kerja serta isu-isu kesejahteraan sosial secara umum.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, “KWSP gembira Kerajaan telah mendengar kebimbangan yang kami diutarakan dan ini dicerminkan dalam Belanjawan 2020 melalui solusi-solusi unik kepada isu-isu unik berkenaan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia.”
Ulasan KWSP terhadap pengumuman Belanjawan 2020 seperti yang berikut:
- Malaysians@Work (#MalaysiaKerja)
“KWSP berbesar hati menggalas tanggungjawab mentadbir inisiatif Malaysians@Work (#MalaysiaKerja), dengan pelbagai program @Work bertujuan mencipta peluang pekerjaan kepada segmen penting tenaga kerja Malaysia serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah,” kata Tunku Alizakri.
“Malaysians@Work langkah penting untuk menyelesaikan masalah bakat dalam negara, termasuklah kadar gaji rendah dan pengangguran belia yang tinggi terutamanya graduan baru serta membolehkan golongan wanita yang sudah berhenti kerja, kembali bekerja semula. Yang menarik, pelbagai inisiatif ini turut menyaksikan pihak majikan terlibat secara aktif dalam mengangani isi-isu penting berkaitan tenaga kerja.”
Program ini juga memastikan masa depan persaraan penerima manfaat dijamin dengan insentif yang akan disalurkan melalui KWSP. Sebahagian insentif ini dijangka akan disediakan tidak lama lagi melalui mekanisma pengeluaran yang dibangunkan oleh KWSP.
“Kami juga mengambil maklum bahawa banyak kos dan tenaga digunakan untuk melatih buruh asing, dimana pelaburan latihan itu akan hilang apabila mereka kembali ke negara asal,” kata Tunku Alizakri. Beliau menambah “Seandainya usaha ini disalurkan kepada rakyat Malaysia, pelaburan keatas modal insan tempatan akan memberi manfaat kepada Negara untuk jangka masa panjang. Program Malaysians@Work (#MalaysiaKerja) juga mengurangkan kos mengambil pekerja tempatan berbanding dengan buruh asing, kerana caruman KWSP majikan kepada pekerja akan ditanggung oleh insentif yang ditawarkan Kerajaan.
- Pelanjutan Pengeluaran untuk Pendidikan
Cadangan yang membolehkan ahli KWSP membuat pengeluaran untuk membiayai pendidikan daripada peringkat sijil ke atas ini adalah hasil keperluan untuk meningkatkan skil rakyat Malaysia dengan kompetensi baru bagi menangani permintaan pekerjaan yang kian berubah.
“Pelanjutan pengeluaran untuk pendidikan daripada Akaun 2 kepada pasangan dan ibu bapa ahli juga diharapkan akan meningkatkan produktiviti mereka. Ahli boleh memilih untuk menggalakkan isteri atau ibu bapa untuk terlibat dalam program pembelajaran berterusan dan memastikan kecukupan diri selepas persaraan,” Tunku Alizakri berkata.
- Perlindungan Keselamatan Sosial untuk semua rakyat Malaysia
Kebangkitan ekonomi gig, pilihan orang muda untuk bekerja dalam sektor informal serta peningkatan pekerja bawah Kontrak Servis menyebabkan ramai tidak diberi perlindungan sosial.
Menurut Tunku Alizakri, “Untuk menangani perkara ini, KWSP sedang mengkaji untuk melanjutkan perlindungan KWSP untuk segmen ini. Kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk menawarkan perlindungan ini kepada industri kreatif dan seni persembahan, dilihat sebagai permulaan yang bagus.”
- Program Caruman kepada Pasangan
Program ini membolehkan suami secara sukarela menyumbangkan 2 peratus daripada 11 peratus caruman bulanan KWSP kedalam akaun isteri.
“KWSP sentiasa memberi penghargaan kepada golongan wanita, sama ada yang bekerja sepenuh masa atau suri rumah, sebagai penyumbang penting kepada ekonomi. Wanita terutamanya, memainkan peranan penting dalam membina keluarga yang stabil. Kestabilan institusi keluarga membawa kepada penambahbaikan produktiviti dalam kalangan pekerja, jadi golongan isteri harus menikmati kelebihan perlindungan sosial,” kata Tunku Alizakri.
- Pengeluaran untuk Rawatan Subfertiliti
Penuaan penduduk Malaysia yang disebabkan oleh trend penurunan kadar fertiliti dijangka akan menimbulkan pelbagai cabaran kepada bidang pekerjaan serta penjagaan kesihatan. Salah satu cara menangani perkara ini termasuk menggalakkan pasangan untuk menambah kelahiran melalui bantuan perubatan – namun kos rawatan tersebut amat tinggi, dengan rawatan persenyawaan luar rahim atau 'in-vitro fertilisation' (IVF) bermula dari RM4,000 ke RM30,000 setiap kitaran. Oleh itu, KWSP akan membolehkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk rawatan subfertiliti.
Tunku Alizakri berkata, “KWSP menyambut baik peluang untuk bekerja lebih rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan dalam pelaksanaan cadangan ini. Kami faham bahawa anak-anak memberi manfaat secara terus dan tidak terus kepada kesejahteraan keluarga. Dengan itu, KWSP menyokong pengumuman ini dan akan mengkaji cara terbaik untuk mencari keseimbangan antara perlindungan kewangan dan kesejahteraan sosial.
Sebagai kata akhir, Tunku Alizakri berpendapat bahawa Belanjawan 2020 menyokong misi KWSP untuk memastikan ahli dapat membina keutuhan kewangan apabila bersara kelak.
“KWSP menggalas tanggungjawab besar dalam program-program yang diumumkan. Walau bagaimanapun, kami mengambil tanggungjawab ini sebagai peluang dalam membina Malaysia yang lebih baik. Kami akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang terlibat untuk melaksanakan program-program ini dan akan diumumkan pelaksanaannya dalam masa yang terdekat.
Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
[email protected]
12 Oktober 2019
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.