Date: 21 Okt 2020
Penutupan Sementara Cawangan Di Negeri Selangor, Kuala Lumpur, Dan Labuan Berikutan Pelaksanaan PKPB

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, mulai Khamis, 22 Oktober 2020 hingga dimaklumkan kelak, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan arahan terkini untuk bekerja dari rumah di negeri-negeri berkenaan.

Sehubungan itu:

  • Semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke semua pejabat dan kaunter KWSP di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Labuan akan dibatalkan serta merta.
     
  • Ahli yang telah membuat janji temu di semua pejabat di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Labuan yang dijadualkan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat.
     
  • Ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa.
     
  • Pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet, kaunter ejen bank berdaftar dan melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP.
     
  • Ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja.
     
  • Untuk penjelasan lebih lanjut, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-8922 6000.

KWSP sedang mengambil pendekatan berjaga-jaga berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri-negeri ini dan di seluruh negara secara amnya. Walaupun kami kesali kesan yang mungkin timbul daripada penutupan ini, kesihatan dan keselamatan ahli serta majikan yang hadir di pejabat dan kaunter KWSP setiap hari daripada pelbagai lokasi tetap menjadi  keutamaan.

Rujuk Lampiran.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
21 Oktober 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.