Tarikh: 17 Nov 2021
KWSP Anjurkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2021) Untuk Membawa Fokus Kepada Ketidaksamaan

KUALA LUMPUR, 17 November 2021: Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2021) yang kesembilan akan berlangsung pada 23 hingga 24 November 2021 bertemakan ‘The New Narrative: Turning the Tide on Inequality’. Dianjurkan bersama oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Pejabat Perdana Menteri dan International Social Security Association (ISSA), persidangan ini bertujuan untuk terus mewujudkan kesedaran tentang perlindungan sosial melalui pertukaran idea dan perspektif, meningkatkan pelaksanaan dasar, serta menerapkan akauntabiliti dalam kalangan pihak berkepentingan industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka melancarkan persidangan tersebut, sementara Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka akan memberi ucapan penutupan. ISWC 2021 akan memberi tumpuan kepada peranan perlindungan sosial dalam mengurangkan ketidaksamaan dalam pelbagai bentuknya, pada masa yang sama menekankan kepentingan menangani isu tersebut bagi memastikan masa depan yang inklusif untuk semua.

Persidangan secara hibrid selama dua hari yang dianjurkan dengan kerjasama Maybank, BNP Paribas, BNY Mellon dan FWD Takaful Bhd itu akan menampilkan ucaptama dan sesi panel bersama lebih daripada 20 orang penceramah tempatan dan antarabangsa yang akan berkongsi pandangan mengenai isu ketidaksamaan yang merangkumi topik ketidaksamaan pendapatan, ketidaksamaan pendidikan dan sosial, jurang perbezaan dalam penjagaan kesihatan, dasar responsif gender dan peranan perlindungan sosial dalam mengurangkan ketidaksamaan. 

Antara penceramah yang akan mengambil bahagian termasuk pemenang anugerah Nobel, Profesor Joseph Stiglitz dan pengarang buku ‘Mission Economy’, Mariana Mazzucato. Penceramah lain termasuk juga penulis terlaris dari New York Times, Nick Vujicic; Naib Presiden Pemasaran Kumpulan GRAB, Cheryl Goh; Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan; dan Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Dr Anas Alam Faizli. 

Penyertaan pada ISWC 2021 adalah terbuka untuk pembuat dasar, peneraju industri, aktivis sosial, badan pemikir, dan orang awam yang berminat untuk melakukan perubahan dan mewujudkan impak dalam masyarakat. Penyertaan dalam persidangan ini juga adalah percuma dan terbuka kepada semua, sementara slot masih ada.

Bagi orang awam yang ingin menyertai persidangan ISWC 2021, sila daftar di https://iswc.kwsp.gov.my/register.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
17 November 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.