Date: 24 Jan 2024
KWSP Lancar Penambahbaikan Produk Dan Polisi Untuk Persaraan Dan Jaminan Pendapatan Lebih Baik Buat Ahli

KWASA DAMANSARA, 24 Januari 2024:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memulakan tahun baharu dengan beberapa siri penambahbaikan strategik produk dan polisi yang memberi kesan terhadap memperkukuh masa depan persaraan dan jaminan pendapatan ahlinya.

Siri penambahbaikan ini adalah selari dengan Belanjawan 2023 dan Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 24 Februari 2023 dan 13 Oktober 2023, sebagai langkah proaktif yang dilaksanakan mengikut keperluan ahli KWSP untuk meningkatkan daya tahan kewangan dan kesejahteraan semasa persaraan.

Penambahbaikan yang diperkenalkan KWSP adalah seperti berikut:


1. Insentif Caruman Padanan Kerajaan untuk Program i-Saraan dan i-Suri KWSP

Bermula 1 Januari 2024, had maksimum insentif caruman padanan Kerajaan untuk program i-Saraan telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 setahun. Rakyat Malaysia yang berumur di bawah 60 tahun, berada dalam sektor tidak formal, termasuk yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, serta mencarum secara sukarela di bawah program i-Saraan, akan menerima insentif padanan sebanyak 15% daripada caruman sukarela, tertakluk kepada had insentif maksimum RM500 setahun. Kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Saraan yang mencarum, tertakluk kepada insentif seumur hidup maksimum RM5,000. Ini bertujuan untuk menggalakkan mereka terus menyimpan untuk persaraan dan membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada insentif Kerajaan ini. Bagi setengah tahun pertama 2023, insentif Kerajaan sebanyak RM28 juta telah dikreditkan kepada 211,361 ahli di bawah program i-Saraan.

Bagi program i-Suri, Kerajaan akan memberi insentif caruman padanan sebanyak 50% ke atas setiap RM1 sumbangan sukarela suri rumah yang berumur 55 tahun dan ke bawah, serta berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih, tertakluk kepada had insentif maksimum sebanyak RM300 setahun. Kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Suri yang mencarum, tertakluk kepada had insentif seumur hidup maksimum RM3,000. Bagi tahun 2023, insentif Kerajaan sebanyak RM19 juta telah dikreditkan kepada 42,532 ahli di bawah program i-Suri.

KWSP menggalakkan ahli untuk memanfaatkan program i-Saraan dan i-Suri bagi membina simpanan persaraan mereka di samping memastikan masa depan yang lebih terjamin dan sejahtera.

2. Pengasingan Portfolio Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional

Bermula 1 Januari 2024, KWSP telah mengasingkan portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah yang berkaitan dengan pelaburan patuh syariah secara strategik bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan alokasi aset strategik yang tersendiri bagi setiap portfolio. Sejak Belanjawan 2023 diumumkan, KWSP telah berusaha ke arah pelaksanaan pengasingan ini bagi menyelaraskan mandat dan objektif strategik jangka panjang Simpanan Shariah. Ini juga merupakan langkah proaktif untuk memastikan aset di bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional dipelbagaikan dengan baik merentasi kelas aset, pasaran, negara dan mata wang untuk pulangan yang mampan.

Simpanan Shariah telah diperkenalkan pada Januari 2017 sebagai pilihan kepada ahli yang mahukan simpanan KWSP mereka diurus dan dilaburkan mengikut prinsip Syariah. Sehingga 30 September 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,092.32 bilion, 39% daripada jumlah tersebut merupakan aset Syariah, dan 61% aset konvensional.

Di samping mematuhi amalan pelaburan beretika yang mengelakkan sektor seperti alkohol, perjudian, hiburan dewasa dan senjata ketenteraan, Simpanan Shariah menggunakan proses penapisan Syariah yang ketat dan kontrak Syariah yang sesuai dalam pelaburannya. Proses ini, berdasarkan kriteria dan polisi yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah KWSP, memastikan semua aset pelaburan adalah selaras dengan prinsip Syariah, menghapuskan unsur-unsur tidak patuh Syariah seperti riba, ketidakpastian dalam kontrak, serta perkara yang dilarang seperti barangan dan perkhidmatan tidak halal.

3. Penambahbaikan platform i-Invest bagi membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian

Penambahbaikan ini membolehkan ahli untuk melakukan transaksi melibatkan portfolio mandat persendirian yang diluluskan, sebagai tambahan kepada dana unit amanah yang diluluskan melalui platform i-Invest. Sebelum ini, ahli hanya boleh membeli, menjual atau menukar portfolio mandat persendirian yang diluluskan melalui ejen sahaja.

Portfolio mandat persendirian merupakan satu daripada dua produk pelaburan yang ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA). Berbeza dengan dana unit amanah, portfolio mandat persendirian ialah instrumen pelaburan yang boleh disesuaikan dengan objektif khusus, keperluan dan toleransi risiko ahli. Sama seperti dana unit amanah, ia diuruskan secara professional oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik.

Senarai pelaburan yang diluluskan juga telah dikembangkan untuk meliputi produk pelaburan berasaskan ESG khususnya untuk menyokong produk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan menjadikannya sebagai teras dalam agenda kemampanan KWSP. Caj jualan awal untuk pelaburan ke dalam produk pelaburan berasaskan ESG melalui i-Invest adalah rendah.

Penambahbaikan platform i-Invest merangkumi:

i) Pegangan Pelaburan (laman web dan aplikasi i-Invest) 

  • Setiap portfolio mandat persendirian dipaparkan nama secara individu dan terperinci. Sebelum ini, pegangan pelaburan untuk portfolio mandat persendirian adalah dikumpulkan kepada tiga kategori generik: portfolio diskretionari penuh (FD), portfolio separa diskretionari (SD) atau portfolio bukan diskretionari (ND)1;

ii) Halaman Maklumat Portfolio (laman web i-Invest sahaja)

  • Sebagai tambahan kepada halaman maklumat sedia ada untuk dana unit amanah, ahli juga boleh merujuk halaman untuk portfolio mandat persendirian yang merangkumi dokumen seperti lembaran fakta portfolio dan perjanjian pengurusan pelaburan, yang memperincikan semua terma dan syarat yang mengawal perhubungan antara ahli dan IPD yang dilantik.

iii) Penandaan ESG (laman web i-Invest sahaja)

  • Penandaan ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus) untuk mengenal pasti dana unit amanah yang telah ditetapkan sebagai Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang ditawarkan oleh IPD yang dilantik.

 

Siri penambahbaikan ini merupakan komitmen KWSP untuk mengukuhkan simpanan persaraan ahli serta memperluaskan perlindungan, selain menyediakan sistem canggih yang memperkasakan ahli membuat keputusan termaklum bagi membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik.

Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif-inisiatif penambahbaikan ini, ahli boleh rujuk Soalan Lazim (FAQ) berkaitan setiap program di laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
24 Januari 2024

 

*FD (Full Discretionary) diuruskan sepenuhnya oleh pengurus dana profesional, dengan status Aktif di bawah SPA, yang bermaksud ahli KWSP boleh melabur dan bertukar ke portfolio tersebut; SD (Semi-Discretionary) diuruskan bersama oleh profesional dan ahli KWSP sendiri, dengan status Digantung, yang bermaksud ahli KWSP boleh menebus dan bertukar keluar tetapi tidak boleh melabur atau bertukar ke portfolio tersebut; dan ND (Non-Discretionary) diuruskan sendiri oleh ahli KWSP dengan status Digantung.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.