GEAR-uP MOF Gerakkan Pelaburan RM11 Bilion, Peroleh Komitmen Gaji Kehidupan Wajar bagi 153,000 Pekerja

Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) telah mengenal pasti pelaburan langsung domestik sebanyak RM22 bilion — bersamaan dengan 88 peratus daripada RM25 bilion yang diberi komitmen oleh enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) utama yang menerajui program ini.
Sehingga 30 Jun 2025, sebanyak RM11 bilion telah disalurkan ke dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) seperti semikonduktor dan peralihan tenaga, serta inisiatif untuk memperkasa komuniti kurang terlayani dan membangunkan bakat tempatan.
Kurang setahun selepas diluncurkan, GEAR-uP juga telah memperoleh komitmen daripada 34 GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan gaji wajar minimum bulanan sebanyak RM3,100 untuk 153,000 pekerja — sekali gus memenuhi janji untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menerajui agenda nasional bagi reformasi gaji.
“Kebijakan program GEAR-uP terletak kepada keupayaannya menggerakkan GLIC untuk menyahut seruan mandat baharu bagi pembangunan negara,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
“Beginilah caranya kita memanfaatkan kekayaan institusi negara — dengan menyalurkannya untuk memperkasa masyarakat serta membina ekosistem industri bernilai tinggi. Sesebuah negara hanya boleh diangkat martabatnya apabila semua rakyatnya bangkit bersama,” tambah beliau.
Berpandukan objektif dan prinsip kerangka Ekonomi MADANI, GEAR-uP mensasarkan penggerakan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun bagi memacu reformasi sosioekonomi dan menggerakkan transformasi perindustrian negara. GEAR-uP diterajui oleh enam GLIC utama iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Sejak program ini diluncurkan pada Ogos 2024, 6 GLIC utama tersebut telah melabur lebih RM800 juta ke dalam ekosistem semikonduktor negara, memulakan pembangunan hab industri hijau dan pintar seluas 3,000 ekar di Kerian dan Pulau Carey, dan menyokong lebih 50 syarikat dan dana tempatan melalui modal teroka dan ekuiti swasta.
Secara kolektif, bersama rangkaian GLC mereka juga telah meyalurkan lebih RM200 juta dalam bentuk biasiswa, menyokong lebih 8,000 belia B40 melalui program pembangunan bakat dan penempatan pekerjaan, serta melaksanakan pelaburan komuniti sosial yang memberi manfaat kepada lebih 700,000 rakyat Malaysia.
Menjamin Pertumbuhan Jangka Panjang
GEAR-uP menerima momentum awal yang signifikan ke arah matlamat menggerakkan RM120 bilion ke dalam ekonomi domestik. Perkembangan in adalah penting sebagai tonggak strategik bagi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global and landskap ekonomi. Antara inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang termasuk:
- Pelaburan tambahan berjumlah RM11 bilion yang sedang dilaksanakan oleh kesemua GLIC;
- PNB membimbing 10 syarikat Bumiputera berpotensi tersenarai, termasuk syarikat portfolio Ekuinas, sebagai sebahagian daripada inisiatif perlumbaan ‘Relay’ Bumiputera;
- KWSP memperluas pelaburan dalam bidang kesihatan dan penjagaan warga emas – termasuk pusat rawatan harian, perkhidmatan di rumah, serta teknologi kesihatan mampu milik;
- LTAT dan PNB memperkukuh pengeluaran farmaseutikal dan biofarmaseutikal tempatan, termasuk penghasilan ubat generik yang mampu milik dan berdaya saing, selaras dengan reformasi Jawatankuasa Bersama MOF-Kementerian Kesihatan mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), yang mensasarkan pemodenan penjagaan kesihatan, penarikan pelaburan dan pulangan yang adil;
- Khazanah memperkukuh rantaian nilai semikonduktor Malaysia melalui pelaburan dalam pembuatan termaju dan kerjasama dengan pemain global;
- KWAP akan memulakan pengagihan RM6 bilion di bawah Dana Pemacu bermula suku ketiga 2025 dalam ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah, dalam tempoh 4 ke 5 tahun akan datang, manakala Dana Perintis Siri 2 dijangka dilancarkan pada suku keempat.
“GEAR-uP bukan sekadar penyaluran modal — ia adalah penjajaran strategik. Kami membuka peluang bernilai RM120 bilion untuk memajukan industri masa hadapan dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan dan bina upaya serta merealisasikan kemakmuran yang dikongsi bersama. Inilah cara kami menterjemahkan transformasi ekonomi kepada hasil yang nyata,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.
“Ini melangkaui usaha memperkukuh asas ekonomi semata-mata. GEAR-uP adalah tentang meningkatkan taraf hidup rakyat dan melahirkan juara serantau dalam industri berteknologi tinggi, agar Malaysia dapat mencapai tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.
GEAR-uP akan diperluas kepada lebih 30 GLC di bawah GLIC. Mereka akan dipandu dengan hasrat untuk mencapai gabungan nilai pasaran RM100 bilion, menjana pulangan pemegang saham sebanyak 7.5 peratus; menyokong hasil bukan kewangan seperti pelaksanaan gaji kehidupan minimum, perkembangan usahawan Bumiputera, pembangunan bakat serta kepimpinan masa depan.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
30 Jun 2025
Mengenai Kementerian Kewangan (MOF)
Kementerian Kewangan (MOF) merupakan kementerian utama yang bertanggungjawab dalam mengurus hal ehwal kewangan dan ekonomi negara. Ditubuhkan pada tahun 1957 selepas kemerdekaan Malaysia, MOF memainkan peranan penting dalam merangka agenda pembangunan negara melalui pengurusan fiskal yang berhemah dan tadbir urus kewangan awam yang cekap. Beribu pejabat di Putrajaya, MOF menyediakan Bajet Persekutuan tahunan, merumus dasar kewangan negara serta memantau pelaksanaan strategi ekonomi selaras dengan matlamat kerajaan. Sepanjang dekad, kementerian ini telah berkembang sebagai tonggak utama dalam memastikan ketahanan ekonomi, kestabilan kewangan dan pertumbuhan mampan negara.