Awas! Penyamaran dan Penipuan Menggunakan Identiti Pegawai KWSP
Kebelakangan ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai KWSP untuk memperdaya orang ramai dengan menggunakan nama serta logo KWSP yang kelihatan rasmi bagi menipu ahli, termasuk mempromosikan tawaran pengeluaran palsu.
Justeru, KWSP ingin mengingatkan semua ahli agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan mesej atau panggilan telefon yang mendakwa daripada KWSP. Tindakan mempercayai atau berkongsi maklumat peribadi secara sembarangan boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan maklumat yang akhirnya mengakibatkan simpanan titik peluh anda lesap tanpa bayangan.
✅ Jangan mudah terpedaya dengan nama atau logo KWSP yang kelihatan rasmi.
✅ Sentiasa semak kesahihan maklumat melalui laman web serta media sosial rasmi KWSP sebelum berkongsi sebarang maklumat peribadi.
Ingat, jika ragu-ragu – jangan kongsi sebarang maklumat peribadi anda. Langkah berhati-hati ini penting untuk melindungi simpanan persaraan anda daripada disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
#KWSP
#KWSPAntiScam
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



