Tarikh: 03 Jun 2025
KWSP Catat Jumlah Pendapatan Pelaburan RM18.31 Bilion untuk S1 2025

KWASA DAMANSARA, 3 Jun 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025), turun 13% berbanding RM20.99 bilion yang dicatatkan untuk suku yang sama pada tahun 2024. Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum direalisasikan, kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing. Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, “Pasaran global menjadi tidak menentu pada awal tahun 2025 berikutan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak dan ketidaktentuan dasar. Walaupun pengumuman tarif dibuat oleh pentadbiran Amerika Syarikat pada 2 April, ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat telah mula memberi kesan kepada pasaran saham utama sepanjang suku. Walaupun tekanan inflasi semakin menurun di beberapa ekonomi, pelonggaran dasar monetari mengikut rantau adalah berbeza pada kadar dan masa, sekaligus menjejaskan tahap penerimaan risiko. Portfolio global KWSP yang pelbagai telah mengurangkan impak tersebut dan memastikan ia terus berada di landasan yang tepat untuk mencipta nilai jangka panjang.”

Sepanjang suku yang dikaji, Ekuiti menyumbang sebanyak RM10.81 bilion, susut 23% daripada RM14.02 bilion yang dicatatkan pada S1 2024. Penurunan ini adalah disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah di pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar. Kelas aset ini terus menjadi penyumbang terbesar, merangkumi 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tonggak pemeliharaan modal, menyumbang sebanyak RM5.99 bilion atau 33% daripada jumlah pendapatan pelaburan. Instrumen Pendapatan Tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, kekal memenuhi dua mandatnya iaitu memberikan pulangan yang stabil dan mengimbangkan turun naik pasaran ekuiti. Ini menunjukkan kepentingan strategiknya dalam melindungi simpanan ahli sepanjang kitaran pasaran.

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion pada S1 2025, manakala Instrumen Pasaran Wang menjana sebanyak RM0.43 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan untuk kelas aset ini.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM15.87 bilion telah dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM2.44 bilion untuk Simpanan Shariah.

Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburan KWSP telah mencecah RM1.26 trilion, dengan 38% daripadanya dilaburkan di luar negara. Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan luar negara telah menjana RM8 bilion atau 44% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 62% daripada jumlah aset, terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui dividen, faedah dan keuntungan daripada sukuk. KWSP kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus melabur lebih 70% daripada peruntukan tahunannya dalam pasaran domestik. Ini mencerminkan peranannya sebagai pelabur jangka panjang dan sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Melalui inisiatif GEAR-uP, KWSP memberi tumpuan kepada pembangunan peluang pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan. Usaha ini bertujuan untuk menjana pertumbuhan jangka panjang, menangani jurang kritikal dalam sistem dan menyokong persaraan yang lebih sihat untuk rakyat Malaysia.

 

KWSP ambil pendekatan berhati-hati dalam ketidaktentuan global meruncing
Keadaan ekonomi global dijangka kekal mencabar dalam situasi ketegangan geopolitik yang berterusan dan risiko halangan tarif dan bukan tarif yang tinggi antara ekonomi utama, khususnya Amerika Syarikat dan China. Walaupun beberapa bank pusat telah mula melonggarkan dasar monetari, kebimbangan terhadap ketidakstabilan politik global, ketidakseimbangan fiskal dan konflik serantau terus melemahkan sentimen pasaran dan menjejaskan keyakinan pelabur.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan global untuk 2025 kepada 2.8%, turun 0.5 mata peratusan daripada unjuran pada Januari. Sejajar dengan itu, unjuran pertumbuhan KDNK Sebenar Malaysia untuk 2025 dijangka sedikit lebih rendah daripada unjuran asal 4.5% – 5.5%, selari dengan semakan penurunan yang lebih meluas di seluruh rantau ini.

Ahmad Zulqarnain berkata semakan penurunan dalam unjuran pertumbuhan global dan serantau, termasuk Malaysia, mencerminkan risiko luaran yang semakin meningkat di samping dinamik perdagangan global yang berubah.

"Dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar dan tidak menentu, KWSP mengekalkan portfolio yang dinamik dan pelbagai bagi melindungi nilai dan mengurus risiko penurunan. Kami terus giat meneroka peluang pelaburan di pasaran serantau dan antarabangsa untuk mengukuhkan portfolio dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang untuk ahli,” tambah beliau.

 

Meneraju kecemerlangan operasi dengan fokus pada kesejahteraan persaraan seiring peningkatan jangka hayat
Ekonomi Malaysia yang berdaya tahan terus menyokong pasaran buruh, dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.1% pada S1 2025, daripada 3.3% setahun sebelumnya. Dalam tempoh yang dikaji, KWSP telah mendaftarkan 140,111 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan keahlian meningkat kepada 16.3 juta. Daripada jumlah ini, 8.88 juta adalah ahli aktif¹, mewakili 51.3% daripada 17.31 juta tenaga buruh². Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 54:46 pada S1 2025.

Pendaftaran majikan baharu mencecah 19,600 pada S1 2025, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat kepada 616,558. Jumlah caruman meningkat sebanyak 15.1% kepada RM33.54 bilion, berbanding RM29.13 bilion pada S1 2024 (lihat Carta 1). Jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak  62% kepada RM7.02 bilion, berbanding RM4.33 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Bilangan ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun adalah sebanyak 10,990 pada S1 2025, berbanding 6,771 dalam tempoh yang sama tahun lalu.
 

Jadual 1: Prestasi KWSP Untuk S1 2025

Portfolio % Aset daripada Jumlah Aset Pelaburan Jumlah Pendapatan Pelaburan
(RM bilion)
% daripada Pendapatan
Ekuiti 43 10.81 59
Instrumen Pendapatan Tetap 48 5.99 33
Hartanah dan Infrastruktur 7 1.08 6
Instrumen Pasaran Wang 2 0.43 2
Jumlah 100 18.31 100

 

Jadual 2: Pendaftaran Ahli/Majikan KWSP Untuk S1 2025

Indikator S1 2025
(setakat Mac 2025)
S1 2024
(setakat Mac 2024)
Pertumbuhan
(S1 2025 vs. S1 2024)
1. Ahli
Jumlah ahli 16,312,130 16,136,280 1.1
Ahli aktif 8,875,668 8,553,274 3.8
Pendaftaran ahli baharu 140,111 107,105 30.8
2. Majikan
Jumlah majikan 616,558 608,433 1.3
Pendaftaran majikan baharu 19,600 20,080 (2.4)

 

Carta 1: Jumlah Caruman Diterima Pada Suku Sama Tahunan

 

40.00
35.00
30.00
25.00
20.00
15.00
10.00
5.00
0.00
 
 
 
 
 
 
 
 
20.32
19.28
21.55
25.83
29.13
33.54
Q1 2020
Q1 2021
Q1 2022
Q1 2023
Q1 2024
Q1 2025
 
RM bilion (3 Bulan Terkumpul)

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
3 Jun 2025

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.