KWSP Catat Jumlah Pendapatan Pelaburan RM38.92 Bilion untuk 1H 2025
KWASA DAMANSARA, 14 Ogos 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM38.92 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025 (1H 2025), meningkat 3% berbanding RM37.90 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2024. Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM0.44 bilion yang belum direalisasikan, terutamanya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing. Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.
Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2025 (S2 2025) adalah sebanyak RM20.61 bilion, meningkat 22% berbanding RM16.91 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP yang pelbagai terus menghasilkan prestasi berdaya tahan, dengan peningkatan pendapatan bagi separuh tahun pertama berikutan pemulihan pasaran yang stabil, prestasi domestik yang kukuh, dan pengurusan portfolio yang berdisiplin. Peningkatan dalam caruman dan pendapatan ini menyumbang kepada kenaikan 5% bagi jumlah aset pelaburan. Penekanan kami terhadap aset berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor domestik utama, pengagihan aset yang berdisiplin dan strategi penyepaduan ESG membolehkan kami mengambil peluang di samping mengurus risiko dalam persekitaran global yang tidak menentu.”
“Walaupun prestasi suku kedua menunjukkan peningkatan, KWSP kekal peka terhadap risiko penurunan berikutan perdagangan global yang perlahan, dasar perdagangan yang tidak menentu, peningkatan tekanan inflasi, dan perubahan geopolitik. Strategi kami dilaksanakan melalui langkah proaktif yang berwaspada serta pengurusan berhemah, dengan memberi tumpuan kepada daya tahan jangka panjang bagi melindungi simpanan persaraan ahli daripada cabaran luaran ini,” tambah beliau.
Sepanjang suku yang dikaji, Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan mencatat RM13.77 bilion, meningkat 35%, berbanding RM10.23 bilion pada S2 2024. Pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti global memberi peluang kepada pengurus dana KWSP untuk menjana keuntungan dan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan. Ekuiti menyumbang 67% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini.
Instrumen Pendapatan Tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal, menjana RM6.73 bilion atau 33% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ini. Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, terus memberikan pulangan yang stabil dan membantu mengurangkan kesan turun naik dalam pasaran ekuiti.
Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.29 bilion pada S2 2025. Selaras dengan pendekatan pelaburan jangka panjang KWSP bagi kelas aset ini, pergerakan mata wang mempunyai kesan minimum terhadap pulangan sebenar dalam tempoh masa tertentu. Kesan serupa turut dialami Instrumen Pasaran Wang, yang sebahagian besarnya didenominasikan dalam mata wang selain Ringgit, turut terjejas daripada pengukuhan Ringgit berbanding Dolar AS pada S2 2025, dan menyebabkan kerugian sebanyak RM0.18 bilion selepas pertukaran mata wang.
Daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan bagi S2 2025, sebanyak RM17.39 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM3.22 bilion untuk Simpanan Shariah.
Sehingga 30 Jun 2025, jumlah aset pelaburan berjumlah RM1.31 trilion, meningkat 8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Pelaburan antarabangsa merangkumi 39% daripada jumlah aset, dengan peningkatan ini sebahagiannya mencerminkan penilaian yang lebih baik dalam pasaran ekuiti global. Sepanjang S2 2025, pelaburan antarabangsa telah menjana sebanyak RM12.92 bilion atau 63% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Selaras dengan komitmennya terhadap pembangunan negara, KWSP terus memberi tumpuan kepada pelaburan domestik, menyokong sektor-sektor penting untuk pertumbuhan jangka panjang Malaysia di bawah agenda Ekonomi MADANI. Dalam inisiatif GEAR-uP, KWSP memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan warga emas, serta infrastruktur.
Peluasan liputan untuk pasaran tenaga buruh yang lebih inklusif
Pasaran tenaga buruh di Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh dasar kerajaan yang kukuh, kestabilan makroekonomi dan pelaburan modal insan. Kadar pengangguran menurun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 3.0% pada Jun 2025 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia . Sepanjang 1H 2025, KWSP mendaftarkan 286,194 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan ahli kepada 16.4 juta orang. Daripada jumlah ini, 8.98 juta adalah ahli aktif , mewakili 51.5% daripada 17.43 juta tenaga buruh setakat Jun 2025. Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 55:45 pada 1H 2025.
Pendaftaran majikan baharu mencapai 37,402, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat kepada 619,662 setakat Jun 2025. Dalam tempoh suku tahunan, jumlah caruman meningkat sebanyak 13.8% kepada RM31.21 bilion, berbanding RM27.42 bilion pada S2 2024 (lihat Carta 1).
Jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak 55% kepada RM11.68 bilion pada 1H 2025, berbanding RM7.55 bilion pada tahun sebelumnya. Dalam enam bulan pertama, bilangan ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun adalah seramai 34,442, berbanding 19,591 dalam tempoh yang sama tahun lalu .
Bagi beberapa bulan ke hadapan, KWSP akan mempertingkatkan libat urus dengan majikan dan pihak berkepentingan utama untuk memastikan pelaksanaan caruman mandatori kepada pekerja bukan warganegara Malaysia berjalan lancar. Dasar ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh perlindungan sosial dan memupuk kesaksamaan dalam pasaran tenaga kerja. KWSP kekal komited untuk memastikan peralihan yang lancar dan pematuhan sepenuhnya apabila peluasan liputan ini berkuat kuasa bermula gaji bulan Oktober 2025, iaitu bagi bulan caruman November 2025.
KWSP turut menegaskan bahawa cadangan penstrukturan semula akaun simpanan persaraan, seperti yang diumumkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, bertujuan untuk membantu simpanan ahli bertahan lebih lama semasa persaraan dengan aliran pendapatan
____________________________
Jadual 1 : Prestasi KWSP Untuk S2 2025
| Portfolio | % Aset daripada Jumlah Aset Pelaburan | Jumlah Pendapatan Pelaburan (RM bilion) |
% daripada Pendapatan |
|---|---|---|---|
| Ekuti | 45 | 13.77 | 67 |
| Instrumen Pendapatan Tetap | 46 | 6.73 | 33 |
| Hartanah dan Infrastruktur | 7 | 0.29 | 1 |
| Instrumen Pasaran Wang | 2 | (0.18) | (1) |
| Jumlah | 100 | 20.61 | 100 |
Jadual 2: Pendaftaran Ahli/Majikan KWSP Untuk 1H 2025
| Indikator | 1H 2025 (setakat Jun 2025) |
1H 2024 (setakat Jun 2024) |
% Pertumbuhan (1H 2025 vs. 1H 2024) |
|---|---|---|---|
| 1. Ahli | |||
| Jumlah ahli | 16,425,908 | 16,045,428 | 2.4 |
| Ahli aktif | 8,979,889 | 8,619,455 | 4.2 |
| Pendaftaran ahli baharu | 286,194 | 235,032 | 21.8 |
| 2. Majikan | |||
| Jumlah majikan | 619,662 | 610,357 | 1.5 |
| Pendaftaran majikan baharu | 37,402 | 37,284 | 0.3 |
Carta 1: Jumlah Caruman Diterima Pada Suku Sama Tahunan
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
14 Ogos 2025
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



