KWSP Kekal Komited Terhadap Tadbir Urus Yang Baik dan Pelaburan Strategik Dalam MAHB

KWASA DAMANSARA, 15 Januari 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjadi pemegang saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sejak 30 November 1999, apabila syarikat tersebut disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM2.50 sesaham. Selama 24 tahun, KWSP telah menguruskan pelaburannya dalam MAHB berpandukan rangka kerja dan strategi jual beli saham yang teliti bagi memastikan pulangan yang optimum untuk ahli KWSP.
Setiap keputusan pelaburan, termasuk aktiviti dagangan yang melibatkan saham MAHB, adalah berdasarkan analisis menyeluruh untuk memberikan nilai kepada ahli KWSP. Aktiviti dagangan ini menyokong matlamat pelaburan KWSP yang lebih luas dan bertujuan untuk menjana pendapatan yang diperlukan bagi pembayaran dividen dalam tahun kewangan tertentu. Keputusan terkini untuk membuat tawaran am sukarela bagi saham MAHB pada harga RM11 sesaham sebagai sebahagian daripada konsortium mencerminkan rancangan strategik jangka panjang yang berasingan untuk mencapai pertumbuhan dan pulangan yang mampan.
Sebagai institusi yang komited terhadap tadbir urus baik, KWSP juga melaksanakan polisi “Chinese Wall” bagi memastikan pengurus dana tidak mempunyai akses kepada sebarang maklumat penting yang tidak didedahkan kepada umum, seperti tawaran pengambilalihan yang mungkin berlaku. Polisi ini bertindak sebagai penghalang maklumat antara jabatan yang berbeza dalam KWSP, menghalang pendedahan maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum dan mengekalkan integriti aktiviti pasaran KWSP.
KWSP, seperti kebanyakan pelabur institusi besar lain yang mempunyai polisi “Chinese Wall”, memisahkan pasukan yang menguruskan kerjasama strategik atau urusan sulit dengan pasukan yang mengurus pelaburan dalam ekuiti awam. Polisi “Chinese Wall” KWSP menetapkan sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum dan pasukan yang terlibat dalam pasaran awam. Ini memastikan bahawa keputusan yang dibuat oleh pengurus dana adalah berdasarkan maklumat yang tersedia kepada umum sahaja, mengelakkan sebarang kelebihan tidak adil atau dagangan orang dalam. Langkah ini melindungi integriti operasi KWSP dan mengekalkan kepercayaan terhadap amalan tadbir urusnya.
Dikeluarkan oleh Editorial and Media Relations Unit
Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP
15 Januari 2025
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.