Tarikh: 12 Dis 2024
KWSP Lancar Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan

KWASA DAMANSARA, 12 Disember 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA ), bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemaskini tahap simpanan yang disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap. Inisiatif ini dibangunkan untuk menggalakkan keselamatan kewangan dan memastikan masa depan persaraan yang sejahtera bagi semua rakyat Malaysia.

Sejak tahun 2019, KWSP bersama Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial (SWRC) di Universiti Malaya telah membangunkan Panduan Belanjawanku bagi menganggarkan perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk mencapai standard kehidupan yang wajar. Di peringkat awal, panduan ini hanya tertumpu kepada kawasan Lembah Klang, tetapi kini telah diperluaskan meliputi 11 bandar utama lain di Malaysia dan dikemas kini setiap tahun bagi mencerminkan kos sara hidup semasa. Panduan ini menjadi panduan praktikal bagi isi rumah dan rujukan yang bernilai kepada pembuat dasar. Panduan Belanjawanku turut menjadi rujukan kepada semakan jumlah Simpanan Asas KWSP dan pembangunan Rangka Kerja RIA baharu, yang dibuat berdasarkan kerangka Simpanan Asas yang diperkenalkan pada 2008.

 

Rangka Kerja RIA Bantu Ahli Tetapkan Sasaran Simpanan
Bakal dilancarkan pada Januari 2026, Rangka Kerja RIA membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza. Pendekatan ini menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan, membantu ahli memahami simpanan yang mereka perlukan untuk menyara diri di usia persaraan.

Rangka Kerja RIA memperkenalkan kerangka simpanan tiga tahap:

  • Simpanan dan Pendapatan Asas, untuk menampung keperluan persaraan yang penting;
  • Simpanan dan Pendapatan Mencukupi, untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa persaraan; dan
  • Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat, untuk menyokong keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi untuk kualiti hidup yang lebih baik.

Rangka Kerja RIA menumpukan kepada konsep simpanan dan jaminan pendapatan persaraan. Berdasarkan Belanjawanku 2024/2025, seorang warga emas tiada pasangan memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan (“Pendapatan Persaraan Mencukupi”) untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara.

Rangka Kerja RIA dengan tiga tahap baharu akan disandarkan pada Pendapatan Persaraan Mencukupi seperti yang ditentukan dalam Belanjawanku dari semasa ke semasa:

  1. Simpanan Mencukupi: Ditetapkan pada 240 kali ganda Pendapatan Persaraan Mencukupi, dibundarkan ke bawah kepada RM10,000 terdekat (RM650,000).
  2. Simpanan Asas: 60% daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM390,000).
  3. Simpanan Dipertingkat: 200% daripada jumlah Simpanan Mencukupi (RM1.3 juta).

Rangka kerja ini menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun, sejajar dengan purata jangka hayat di Malaysia. Sebagai gambaran, tahap simpanan yang berbeza akan diterjemahkan seperti berikut pada Umur Persaraan:

  • Simpanan Mencukupi (RM650,000): Membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 di tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun 20.
  • Simpanan Asas (RM390,000): Menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 di tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun 20.
  • Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta): Menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun 20 untuk persaraan yang lebih selesa.

 

Tempoh Peralihan untuk Tahap Simpanan Asas Baharu
Penanda aras Simpanan Asas baharu sebanyak RM390,000 adalah satu peningkatan daripada RM240,000 sebelumnya. Bagi melaksanakan peralihan secara berfasa, jumlah Simpanan Asas akan dinaikkan secara berperingkat sebanyak RM50,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun:

  • RM290,000 menjelang 1 Januari 2026
  • RM340,000 menjelang 1 Januari 2027
  • RM390,000 menjelang 1 Januari 2028

 

Pelarasan di Masa Hadapan untuk Mencerminkan Kos Sara Hidup
Tahap simpanan RIA akan disemak setiap tiga tahun bermula pada 2029 menggunakan data terkini daripada hasil kajian Belanjawanku agar terus relevan dengan peningkatan kos.

 

Fleksibiliti untuk Ahli dengan Simpanan Lebihan
Polisi pengeluaran simpanan melebihi RM1 juta akan sejajar dengan penanda aras Simpanan Dipertingkat, yang menawarkan fleksibiliti untuk ahli menguruskan dana lebihan mereka. Seperti peralihan untuk tahap Simpanan Asas, penanda aras bagi pengeluaran ini akan meningkat secara berperingkat sebanyak RM100,000 setiap tahun dalam tempoh tiga tahun. Selain itu, di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA), ahli boleh memindahkan 30% daripada simpanan yang melebihi jumlah Simpanan Asas dalam Akaun Persaraan kepada dana yang diuruskan oleh Institusi-institusi Pengurusan Dana yang dilantik, berdasarkan jadual Simpanan Asas Baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026 (Jadual 1).

 

Jadual 1: Tahap Baharu Bagi Simpanan Asas, Mencukupi dan Dipertingkat

Umur

Simpanan Asas Baharu
RM390,000 pada umur 60

Simpanan Mencukupi
RM650,000 pada umur 60

Simpanan Dipertingkat
RM1,300,000 pada umur 60

18 1,400 1,500 2,500
19 1,700 1,800 3,100
20 2,200 2,300 3,900
21 2,800 3,000 5,000
22 5,800 6,400 10,800
23 9,200 10,100 16,700
24 12,300 14,100 24,300
25 15,900 19,000 30,700
26 19,800 23,400 40,900
27 23,800 28,600 51,200
28 28,300 34,500 62,800
29 33,000 40,700 72,800
30 38,000 47,500 85,400
31 43,400 54,800 99,100
32 49,100 62,700 114,000
33 55,100 71,200 129,000
34 61,400 80,300 147,000
35 68,100 90,000 165,000
36 75,100 100,000 185,000
37 82,600 111,000 206,000
38 90,400 123,000 229,000
39 98,600 136,000 253,000
40 107,000 149,000 279,000
41 116,000 164,000 305,000
42 125,000 179,000 336,000
43 135,000 195,000 368,000
44 145,000 213,000 402,000
45 156,000 231,000 438,000
46 167,000 250,000 476,000
47 179,000 271,000 516,000
48 191,000 292,000 559,000
49 204,000 315,000 606,000
50 217,000 339,000 652,000
51 231,000 364,000 703,000
52 246,000 390,000 757,000
53 261,000 417,000 813,000
54 277,000 446,000 873,000
55 294,000 476,000 935,000
56 312,000 508,000 1,000,000
57 330,000 541,000 1,070,000
58 349,000 576,000 1,140,000
59 369,000 612,000 1,220,000
60 390,000 650,000 1,300,000

 

Setakat Oktober 2024, sekitar 36% ahli KWSP yang aktif formal melepasi tahap Simpanan Asas sedia mengikut umur, disandarkan pada RM240,000 di umur 55. Walaupun peratusan ini mungkin menerima kesan daripada penanda aras baharu ini dalam jangka sederhana,
pelarasan ini penting untuk meletakkan simpanan ahli seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan umur persaraan semasa di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Encik Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, “Panduan Belanjawanku dan Rangka Kerja RIA adalah asas kepada tujuan KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Panduan ini membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah, sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi.

“Dengan menyediakan gambaran komprehensif mengenai perbelanjaan bulanan dan memperkenalkan penanda aras simpanan yang baharu, kami berhasrat untuk membimbing ahli mencapai persaraan yang bermakna. Inisiatif ini menunjukkan komitmen utuh KWSP untuk menyesuaikan organisasi dengan realiti sosioekonomi yang berubah-ubah dan kekal relevan pada objektif di samping memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam merancang masa depan yang sejahtera,” tambah beliau.

Panduan Belanjawanku 2024/2025 boleh dimuat turun secara percuma dari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. Aplikasi Belanjawanku juga boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store, Google Play, dan Huawei App Gallery.

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
12 Disember 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.