Tarikh: 22 Feb 2025
KWSP Perjelas Pendapatan Pelaburan dan Agihan Dividen 2023

KWASA DAMANSARA, 22 Februari 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merujuk kepada perbincangan mengenai prestasi kewangannya bagi tahun 2023 dan pelaburannya dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). KWSP mengamalkan standard tertinggi dalam tadbir urus dan ketelusan. Sejajar dengan komitmennya untuk melindungi kesejahteraan kewangan jangka panjang lebih daripada 16 juta ahli, KWSP ingin menangani kebimbangan dan kekeliruan yang telah timbul.

Pelaporan yang Jelas, Tepat dan Telus
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM66.99 bilion, dengan pendapatan pelaburan bersih berjumlah RM63.48 bilion, selaras dengan jumlah yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan II. Jumlah-jumlah ini sejajar dengan kerangka pelaporan KWSP, yang mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS). Tiada sebarang kesilapan, salah nyata, atau usaha untuk menyembunyikan maklumat, seperti yang didakwa.

(Lihat “KWSP Kekalkan Prestasi Kukuh Dengan Dividen 5.50% Untuk Simpanan Konvensional Dan 5.40% Untuk Simpanan Shariah”; 3 Mac 2024)

Harga Transaksi Saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 2023
Julat harga RM5.40 hingga RM7.36 sesaham yang disebut sebelum ini adalah merujuk kepada soalan yang dikemukakan di Parlimen oleh seorang Ahli Parlimen. Semakan terhadap semua transaksi sepanjang tahun 2023 mengesahkan bahawa julat harga sebenar adalah RM6.80 hingga RM7.70 sesaham. Jumlah keuntungan direalisasikan daripada transaksi ini adalah RM102 juta, merangkumi keuntungan modal serta dividen yang dijana oleh pengurus dana dalaman dan luaran. Jumlah RM100.7 juta yang disebut dalam perbincangan sebelum ini tidak mengambil kira sebahagian dividen yang diterima daripada pengurus dana luaran dan kini telah diperbetulkan.


Kejayaan Pelaburan KWSP dan Pengagihan Pendapatan Dividen
Pelaburan KWSP dalam MAHB turut menyumbang kepada prestasi KWSP. Hasil daripada ini, KWSP telah mengisytiharkan dividen lebih tinggi bagi tahun 2023, iaitu:

  • 5.50% bagi Simpanan Konvensional (berbanding 5.35% pada 2022), dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion; dan
  • 5.40% bagi Simpanan Shariah (berbanding 4.75% pada 2022), dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.

KWSP menegaskan bahawa semua jumlah yang diumumkan adalah tepat dan mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan yang ketat. Setiap keputusan pelaburan telah melalui penilaian ketat sejajar dengan mandat KWSP, dengan keutamaan diberikan kepada pemeliharaan nilai jangka panjang. Memandangkan simpanan persaraan adalah kepentingan nasional, KWSP kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi dan mengembangkan dana ahli dengan profesionalisme, akauntabiliti, dan ketelusan.

KWSP juga komited terhadap ketelusan dan mengalu-alukan dialog konstruktif bersama pembuat dasar, pihak berkepentingan, dan orang ramai bagi memastikan dasar-dasarnya terus berkhidmat demi kepentingan terbaik negara serta ahli KWSP.

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
22 Februari 2025

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.