KWSP Terima Lebih 2 Juta Permohonan Pemindahan Amaun Permulaan Dari Akaun Sejahtera Ke Akaun Fleksibel
KWASA DAMANSARA, 27 Mei 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa setakat 22 Mei 2024, sebanyak 2.86 juta permohonan pindahan amaun permulaan telah diterima dan dipindahkan dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel melibatkan jumlah sebanyak RM8.78 bilion, selepas pilihan ini dibuka kepada ahli pada 12 Mei 2024. Sementara itu, sebanyak 3.04 juta permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel telah diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM5.52 bilion.
Ketua Pegawai Operasi KWSP Encik Sazaliza Zainuddin berkata, “KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera mereka kepada Akaun Fleksibel akan terus meningkat sehingga tarikh tutup pada 31 Ogos 2024. Kami juga gembira melihat peningkatan ketara permohonan melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun. Ini mencerminkan usaha kami untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna, di samping kami terus berinovasi dan mengembangkan penawaran digital kami.
Bermula 12 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel. Pemindahan amaun awal ke Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan dibuat. Pengeluaran dari Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, dengan pengeluaran minimum RM50.
Memandangkan tarikh tutup pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel adalah pada 31 Ogos 2024, ahli dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat pemindahan. Ahli yang masih belum mendaftar dengan KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel. Ahli dinasihatkan untuk mendaftar atau mengemaskini nombor telefon bimbit mereka melalui Terminal Layan Diri (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan menerima Kod Kebenaran Urus Niaga (TAC) bagi mengesahkan identiti mereka semasa menjalankan transaksi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Penstrukturan Semula Akaun KWSP dan perincian berkaitan pilihan pemindahan amaun permulaan, ahli boleh rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.
Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
27 Mei 2024
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia yang membantu ahlinya mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, dan misinya untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang. KWSP telah beralih daripada berpaksikan transaksi kepada sebuah pengurusan dana profesional berfokuskan keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam keputusan pelaburannya. KWSP terus memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan memupuk budaya menabung dan pelaburan di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara.