Tarikh: 12 Feb 2025
KWSP Tolak Dakwaan Berkaitan Pelaburan MAHB

KWASA DAMANSARA, 12 Februari 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menolak sebarang dakwaan salah laku atau pelanggaran peraturan dalam urusan jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerugian yang dialami daripada penjualan ini, kerana tuduhan tersebut adalah tidak berasas. 

Selaras dengan Polisi Chinese Wall KWSP, terdapat sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam dan pasukan yang mengendalikan pelaburan pasaran awam bagi memastikan tiada pertindihan maklumat di antara kedua-duanya. Pasukan pelaburan pasaran awam beroperasi secara bebas dan membuat keputusan dagangan hanya berdasarkan maklumat yang tersedia secara umum.

KWSP mengalu-alukan sebarang semakan dan siasatan terhadap pelaburannya dalam MAHB serta kekal komited terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban. 


Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
12 Februari 2025

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.