KWSP Umum Pengurus Dana Luar Terbaik Bagi Tahun 2024

KWASA DAMANSARA, 22 Mei 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 12 pemenang di Majlis Makan Malam Tahunan Anugerah Pengurus Dana Luar KWSP bagi mengiktiraf prestasi cemerlang barisan pengurus dana luar mengikut mandat masing-masing bagi tahun 2024.
Sehingga 31 Disember 2024, sejumlah RM213.21 bilion telah disalurkan kepada pengurus dana luar yang mewakili 17% daripada jumlah aset pelaburan KWSP. Barisan pengurus dana luar ini telah mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi mencecah 24% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP.
Pengerusi KWSP Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali berkata, “Pencapaian ini adalah bukti kepada kecekapan, matlamat dan kerjasama dalam ekosistem pelaburan yang telah dibina antara KWSP dan pengurus dana luarnya. Walaupun berdepan dengan cabaran luar dan ketidaktentuan pasaran sepanjang tahun lalu, KWSP dan pengurus dana luarnya telah menunjukkan kecekapan dan daya tahan dalam mengurus portfolio pelaburan yang pelbagai bagi memberikan nilai jangka panjang untuk ahli kami.”
Bagi tahun kewangan berakhir 2024, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.30% bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM73.24 bilion. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM63.05 bilion telah diagihkan untuk Simpanan Konvensional, manakala RM10.19 bilion untuk Simpanan Shariah. KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion pada tahun 2024, manakala jumlah aset pelaburannya telah meningkat kepada RM1.25 trilion—sekali gus mengukuhkan kedudukan KWSP sebagai salah satu dana persaraan terbesar di dunia.
“KWSP komited terhadap inovasi dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan dan automasi untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi serta membangunkan infrastruktur pelaburan yang lebih tangkas dan tersedia masa hadapan. Pada masa yang sama, penyepaduan pertimbangan ESG dalam portfolio kami kekal menjadi keutamaan strategik bagi memperkukuh daya tahan jangka panjang. Kami bekerjasama secara aktif dengan pengurus dana luar bagi memastikan mereka selari dengan tujuan kami untuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” tambah Tan Sri Mohd Zuki.
Berikut ialah senarai penuh pemenang Anugerah Pengurus Dana Luar KWSP 2024.
No. | Ketegori | Pemenang |
---|---|---|
1 | Best Domestic Equity Fund Manager (Shariah) 2024 | BNP Paribas Asset Management Najmah Malaysia Sdn Bhd |
2 | Best Domestic Equity Fund Manager (Conventional) 2024 | Franklin Templeton Asset Management (Malaysia) Sdn Bhd |
3 | Best International Equity Fund Manager for MSCI Shariah Asia (ex Japan ex Malaysia) 2024 | Nomura Islamic Asset Management Sdn Bhd |
4 | Best International Equity Fund Manager for MSCI EM Latin America 2024 | Principal Asset Management Berhad |
5 | Best International Equity Fund Manager for Factor Investing 2024 | Robeco Institutional Asset Management |
6 | Best International Equity Fund Manager for FTSE Shariah World Developed 2024 | Nomura Islamic Asset Management Sdn Bhd |
7 | Best International Equity Fund Manager for FTSE Ethical World Developed 2024 | Amundi Malaysia Sdn Bhd |
8 | Best Global Bond Fund Manager 2024 | BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd |
9 | Best Equity ROI 2024 | BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd |
10 | Best Fixed Income ROI 2024 | Nomura Islamic Asset Management Sdn Bhd |
11 | Best EPF Global Equity Fund Manager 2024 | Nomura Asset Management |
12 | Best EPF External Fund Manager 2024 | Nomura Asset Management |
Issued by
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
22 Mei 2025
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia yang membantu ahlinya mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan matlamat KWSP untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, dan misinya untuk membantu ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa. KWSP telah beralih daripada berpaksikan transaksi kepada sebuah pengurusan dana profesional berfokuskan terhadap keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional semasa membuat keputusan pelaburan. Ia terus menjadi pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan berusaha untuk memupuk budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan ahlinya untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara.