Date: 26 Mei 2024
KWSP Umum Pengurus Dana Luaran Terbaik Bagi Tahun 2023
  • RM189 bilion disalurkan kepada pengurus dana sehingga 31 Disember 2023

 

KWASA DAMANSARA, 26 Mei 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 11 pemenang di Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2023 sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang barisan pengurus dana luaran KWSP mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak RM189 bilion telah disalurkan kepada pengurus dana luaran untuk dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, yang mewakili 17% daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “Barisan pengurus dana luaran KWSP telah menghasilkan pulangan yang baik tahun lepas dengan mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi, lebih kurang 22% daripada keseluruhan pendapatan KWSP walaupun berhadapan dengan pasaran yang tidak menentu dan mencabar. Jumlah dana yang diurus oleh pengurus ekuiti dan pendapatan tetap luaran telah meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM189 bilion berbanding lima tahun lalu.”

Bagi tahun kewangan berakhir 2023, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.50% dengan agihan RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional; dan 5.40% dengan agihan RM7.48 bilion untuk Simpanan Shariah. Secara kumulatif, jumlah agihan untuk 2023 ialah RM57.81 bilion. Pencapaian ini, tambah Tan Sri Ahmad Badri, turut disumbang oleh pendiversifikasian yang dilaksanakan pengurus dana di dalam kelas aset, pasaran dan mata wang berbeza yang membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap turun naik pasaran serta melindungi pulangan pelaburannya.

Sehingga Disember 2023, saiz aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM1.14 trilion, sekaligus meletakkan KWSP sebagai salah satu daripada 10 dana persaraan terbesar di dunia. Pada tahun yang mendatang, KWSP akan terus meneroka strategi baharu dan bekerjasama dengan pengurus dana domestik dan global yang terkemuka untuk menghasilkan pulangan yang optimum.


“Selain daripada memaksimumkan pulangan risiko terlaras peringkat portfolionya, KWSP juga berusaha untuk memperkasa semua syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar. Dedikasi mereka untuk menghasilkan nilai yang berkekalan telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dalam memberikan pulangan yang mampan di samping melindungi kesejahteraan persaraan ahli,” tambah Tan Sri Ahmad Badri.

Senarai pemenang Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2023 adalah seperti di Lampiran 1.


Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
26 Mei 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia yang membantu ahlinya mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, dan misinya untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang. KWSP telah beralih daripada berpaksikan transaksi kepada sebuah pengurusan dana profesional berfokuskan keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam keputusan pelaburannya. KWSP terus memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan memupuk budaya menabung dan pelaburan di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara.