KWSP Sedia Sokong Kajian Lanjut untuk Memperkukuh Pilihan Pendapatan Persaraan
KWASA DAMANSARA, 1 Ogos 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pertimbangan Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli KWSP. Cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli. Buat masa ini, peraturan dan mekanisme pengeluaran KWSP kekal seperti sedia ada. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
1 Ogos 2025
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan misi untuk membantu ahli mencapai perdapatan persaraan yang selesa, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



