Tarikh: 06 Jul 2026
Peranan Majikan Dalam Pengeluaran Simpanan KWSP Bagi Pekerja Bukan Warganegara Malaysia

Majikan memainkan peranan penting dalam memastikan urusan simpanan KWSP bagi Pekerja Bukan Warganegara Malaysia dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. 

Bagi tujuan tersebut, majikan disarankan untuk memastikan pekerja mempunyai akaun bank yang aktif bagi memudahkan urusan pembayaran gaji serta pengeluaran simpanan KWSP, termasuk Pengeluaran Meninggalkan Negara.

Majikan juga perlu memastikan perkara berikut:

  1. Maklumat pasport pekerja yang didaftarkan di KWSP adalah tepat dan sepadan dengan maklumat pasport yang digunakan bagi akaun bank pekerja. 
  2. Akaun bank pekerja kekal aktif sehingga semua urusan pembayaran dan pengeluaran simpanan KWSP selesai diproses.

Kesepadanan maklumat pasport dan status akaun bank yang aktif amat penting bagi memastikan proses pembayaran pengeluaran simpanan KWSP dapat dilaksanakan dengan lancar serta mengikut prosedur yang ditetapkan.

Bagi Pengeluaran Meninggalkan Negara, majikan turut digalakkan untuk menasihati pekerja supaya membuat permohonan bagi pengeluaran tersebut seawal mungkin setelah Memo Periksa Keluar (Check-Out Memo) atau pembatalan pas kerja diperoleh.

Permohonan awal membantu urusan pengeluaran simpanan KWSP diselesaikan sebelum pekerja meninggalkan Malaysia.

Oleh itu, kerjasama majikan dalam memastikan maklumat pekerja adalah tepat, akaun bank kekal aktif dan permohonan pengeluaran dibuat lebih awal memainkan peranan penting dalam pengurusan pengeluaran simpanan KWSP pekerja bukan warganegara Malaysia.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama di Malaysia yang bertujuan membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia. Misi KWSP adalah untuk membantu ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa. KWSP telah beralih daripada sebuah organisasi yang berpaksikan transaksi kepada sebuah institusi pengurusan dana profesional yang berfokus kepada keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan berusaha untuk memupuk budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan ahlinya bagi meningkatkan tahap celik kewangan negara.