Tarikh: 07 Jan 2019
Kadar Caruman Minimum Baharu Untuk Pekerja Umur 60 Tahun Ke Atas Mula Berkuat Kuasa

KUALA LUMPUR, 7 Januari 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa kadar minimum caruman berkanun syer Majikan untuk pekerja wajib mencarum yang berumur 60 tahun ke atas akan dikurangkan kepada empat (4) peratus sebulan, manakala kadar caruman syer Pekerja adalah kosong peratus.  

 

Kadar caruman minimum baru ini akan bermula dengan gaji/upah bulan Januari untuk potongan caruman bulan Februari 2019. 

 

Langkah untuk mengurangkan kadar caruman berkanun ini adalah berikutan cadangan Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2019 pada 2 November 2018, bagi membantu meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja yang masih bekerja selepas mencapai umur 60 tahun. Pengurangan syer Majikan kepada minimum empat (4) peratus pula dapat menggalakkan peluang pekerjaan bagi Pekerja yang melebihi umur 60 tahun seterusnya membolehkan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas terus produktif dan aktif dalam ekonomi.

 

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.

 

Dikeluarkan oleh:
Jabatan Hal Ehwal Korporat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Tarikh: 7 Januari 2019

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.