KWSP Isytihar Dividen 6.15% untuk Simpanan Konvensional dan 6.15% untuk Simpanan Shariah
KWASA DAMANSARA, 28 Februari 2026: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15% bagi Simpanan Konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM67.1 bilion, dan 6.15% bagi Simpanan Shariah dengan agihan sebanyak RM12.5 bilion, menjadikan keseluruhan jumlah agihan bagi tahun 2025 sebanyak RM79.6 bilion.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5% berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024. Aset pelaburan meningkat kepada RM1,409 bilion, naik 12.8% daripada RM1,250 bilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.
Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, “Kami berbesar hati kerana KWSP telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2025 walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan yang sukar diramal. Pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh. Pencapaian ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami dalam melindungi simpanan ahli bagi memastikan pulangan yang mampan.”
Walaupun berdepan tekanan tarif dan perkembangan geopolitik, ekonomi global kekal kukuh pada tahun 2025. Inflasi yang semakin terkawal membolehkan bank-bank pusat utama melonggarkan dasar monetari, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelabur jangka panjang.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan eksport yang berdaya tahan. Reformasi fiskal, reformasi struktural dan pelaksanaan inisiatif strategik nasional terus memperkukuh aktiviti pelaburan serta meningkatkan keyakinan perniagaan, manakala pelarasan kadar dasar oleh Bank Negara Malaysia kepada 2.75% menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
“Portfolio pelaburan kami yang pelbagai merangkumi kelas aset dan pasaran, dipandu oleh Alokasi Aset Strategik, membolehkan kami menghadapi turun naik pasaran yang memuncak pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat. Walaupun kitaran pasaran boleh membawa ketidaktentuan jangka pendek, pengurusan risiko yang berdisiplin dengan strategi pelaburan jangka panjang terus menjadi teras dalam mengekalkan daya tahan dan menjana pulangan yang konsisten untuk ahli,” kata Tan Sri Mohd Zuki.
Prestasi dipacu ekuiti, diperkukuh oleh pendapatan tetap
Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada tahun 2025 dengan menjana RM50.7 bilion, atau 64% daripada jumlah pendapatan pelaburan. Jumlah ini mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada tahun 2024, manakala pulangan pelaburan (ROI) sederhana kepada 7.9% berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan. Pelaburan Ekuiti Persendirian, yang merangkumi sekitar 8% daripada pelaburan ekuiti, mencatatkan ROI sebanyak 10.5%.
Instrumen Pendapatan Tetap, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, mengukuhkan portfolio KWSP dengan aliran pendapatan yang stabil, menyumbang sebanyak RM26.3 bilion, atau 33% daripada jumlah pendapatan pelaburan, dengan ROI sebanyak 4.3%. Seiring penurunan kadar hasil sepanjang tahun, pengurus dana berupaya merealisasikan keuntungan modal secara berhemah di samping mengambil langkah teliti bagi memastikan hasil portfolio kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menjana pulangan masa hadapan.
Hartanah dan Infrastruktur menjana pendapatan sebanyak RM1.6 bilion dengan ROI sebanyak 4.8% berdasarkan mata wang tetap, manakala instrumen Pasaran Wang menyumbang RM0.6 bilion dengan ROI sebanyak 1.6%. Memandangkan sebahagian besar pelaburan ini didenominasikan dalam mata wang selain Ringgit, prestasinya turut dipengaruhi oleh kadar pertukaran asing apabila Ringgit mengukuh berbanding Dollar Amerika Syarikat.
Jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM79.2 bilion. Selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan terutamanya daripada turun naik kadar pertukaran asing. Pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah masing-masing berjumlah RM66.2 bilion dan RM13.0 bilion.
Ekuiti merangkumi 46.1% daripada jumlah aset, manakala instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 44.7%. Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing mewakili 6.0% dan 3.2%.
Pelaburan domestik terus menjana pendapatan yang stabil. Daripada jumlah aset sebanyak RM1,409 bilion setakat Disember 2025, sebanyak 61.7% dilaburkan dalam pasaran domestik, menjana RM39.3 bilion atau 49.6% daripada jumlah pendapatan pelaburan. Pelaburan global yang merangkumi 38.3% daripada portfolio, menjana pendapatan sebanyak RM39.9 bilion, bersamaan 50.4% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Dasar bagi pekerja bukan warganegara luaskan liputan, perkukuh perlindungan sosial
Keahlian KWSP meningkat kepada 18.1 juta, disokong oleh penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara Malaysia. Bilangan ahli aktif meningkat kepada 10.6 juta, sekali gus menambah baik nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41. Pendaftaran baharu kekal kukuh dengan 2.8 juta ahli baharu dan 89,649 majikan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif sebanyak 640,391.
Caruman sukarela terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM19.2 bilion. Program i-Saraan merupakan pemacu utama, dengan jumlah penerima insentif meningkat 35.9% kepada 720,056 dan jumlah caruman meningkat 50.8% kepada RM4.0 bilion. Bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 26.0% kepada 229,901. Secara keseluruhan, jumlah caruman meningkat 12.3% kepada RM121.5 bilion, disokong oleh pertambahan keahlian, pertumbuhan gaji dan keyakinan yang berterusan terhadap KWSP.
Mendepani 2026 dengan berhemah dalam persekitaran global yang berubah
Ekonomi global dijangka kekal berdaya tahan dengan inflasi yang semakin sederhana dan kitaran pelonggaran dasar monetari secara berperingkat menyokong kestabilan kewangan bagi perniagaan dan isi rumah. Walaupun pertumbuhan merentasi ekonomi utama mungkin tidak sekata, aliran pelaburan yang berterusan, terutamanya dalam sektor teknologi, dijangka menyediakan asas kestabilan.
Prospek Malaysia disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang sihat dan peningkatan pelaburan swasta, di samping aktiviti pelancongan yang meningkat serta eksport berasaskan teknologi yang berterusan.
Tan Sri Mohd Zuki berkata KWSP akan terus mengutamakan pendekatan secara berhemah dan kemampanan jangka panjang. “KWSP kekal berhemah dalam unjurannya memandangkan ketidaktentuan global yang berlarutan. Pendekatan pelaburan KWSP berteraskan disiplin, kepelbagaian aset dan tadbir urus yang kukuh. Sebagai dana persaraan jangka panjang, KWSP beroperasi dengan pendekatan pelaburan untuk tempoh panjang, dengan mengambil kira bahawa pulangan mungkin berbeza dari tahun ke tahun, dan kekal fokus kepada pulangan yang mampan dalam jangka masa panjang bagi membolehkan ahli mendapat manfaat daripada kesan faedah berganda untuk pertumbuhan simpanan mereka.”
Pengkreditan dividen bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai pada Ahad, 1 Mac 2026. Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Dikeluarkan oleh;
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
28 Februari 2026
LAMPIRAN
Jadual 1: Ringkasan Prestasi Pelaburan KWSP 2025
| Portfolio | % Jumlah Aset Pelaburan | Jumlah Pendapatan Pelaburan | % Pendapatan | ||
|---|---|---|---|---|---|
| Simpanan Konvensional (RM bilion) |
Simpanan Shariah (RM bilion) |
Jumlah (RM bilion) |
|||
| Ekuiti | 46.1 | 42.0 | 8.7 | 50.7 | 64 |
| Pendapatan Tetap | 44.7 | 22.6 | 3.7 | 26.3 | 33 |
| Hartanah dan Infrastruktur | 6.0 | 1.1 | 0.5 | 1.6 | 2 |
| Pasaran Wang | 3.2 | 0.5 | 0.1 | 0.6 | 1 |
| Jumlah | 100 | 66.2 | 13.0 | 79.2 | 100 |
Carta 1: Kadar Dividen KWSP Sepanjang 15 Tahun
Dividen (%)
Carta 2: Pertumbuhan Aset Pelaburan KWSP Sepanjang 10 Tahun
Jumlah Aset Pelaburan (RM bilion)
Jadual 2: Pendaftaran KWSP sehingga Disember 2025
| Indikator | 2025 | 2024 | Pertumbuhan (%) |
|---|---|---|---|
| Ahli | |||
| Jumlah ahli | 18,088,387 | 16,223,368 | 11.5 |
| Ahli aktif | 10,588,648 | 8,783,130 | 20.6 |
| Ahli baharu | 2,783,508 | 480,351 | 479.5 |
| Majikan | |||
| Jumlah majikan aktif | 640,391 | 614,563 | 4.2 |
| Majikan baharu | 89,649 | 71,471 | 25.4 |
Jadual 3: Ahli Aktif KWSP Sektor Formal Malaysia sehingga Disember 2025
| Umur | Capai Simpanan Asas (RM390,000 pada Umur 60) |
Capai Simpanan Mencukupi (RM650,000 pada Umur 60) |
Capai Simpanan Dipertingkatkan (RM1,300,000 pada Umur 60) |
|---|---|---|---|
| 18-30 | 39.8% | 32.5% | 13.0% |
| 31-40 | 40.6% | 28.0% | 8.5% |
| 41-50 | 42.6% | 25.4% | 8.9% |
| 51-55 | 36.6% | 20.4% | 7.2% |
| 56-60 | 21.5% | 13.3% | 5.2% |
| Keseluruhan | 39.5% | 28.2% | 10.2% |
Carta 3: Purata dan Median Simpanan Ahli Aktif KWSP Malaysia
Carta 4: Purata dan Median Simpanan Ahli Aktif KWSP Malaysia pada Umur 54 Tahun
Jadual 4: Simpanan Ahli KWSP Malaysia Bawah Umur 55 Mengikut Kumpulan Kaum
(Setakat 31 Disember 2025)
| Kumpulan Kaum | Bilangan Ahli (Juta) | Simpanan (RM bilion) |
Purata Simpanan (RM) |
Median Simpanan (RM) |
|---|---|---|---|---|
| Bumiputera | ||||
| Melayu | 7.36 | 356.99 | 48,498 | 13,980 |
Lain-lain Bumiputera |
1.51 | 44.13 | 29,207 | 8,962 |
|
8.87 | 401.12 | 45,212 | 12,879 |
| Cina | 3.22 | 467.12 | 145,039 | 55,698 |
| India | 1.02 | 73.65 | 72,450 | 22,028 |
| Lain-lain | 0.3 | 9.14 | 30,329 | 6,942 |
| Jumlah | 13.41 | 951.03 | 70,916 | 17,899 |
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



