Date: 10 Jul 2023
Tiada Perubahan Terhadap Pengeluaran Penuh Umur 55 Dan 60 Tahun Untuk Ahli Semasa

KWASA DAMANSARA, 10 Julai 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin menjelaskan bahawa tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 untuk ahli-ahli semasa. Perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP yang sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.

Cadangan pengeluaran mandatori bulanan akan hanya melibatkan ahli-ahli baru, buat sementara ini bagi mereka yang lahir pada atau selepas 2010, serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baru ini. Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli-ahli ini, yang dijangkakan hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang. Cadangan ini masih sedang diteliti, dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli.

Mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain, kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
10 Julai 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.