Tiada Perubahan Pada Pengeluaran Umur 55 Tahun Dan Memperkenalkan Akaun Emas Untuk Pengeluaran Umur 60 Tahun
KUALA LUMPUR, 3 November 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2017, Akaun Emas akan diwujudkan sebagai simpanan persaraan kedua untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas. Tiada perubahan pada Pengeluaran Umur 55 Tahun semasa.
Akaun Emas ini merupakan salah satu inisiatif di bawah penambahbaikan skim KWSP yang terkandung di dalam Akta KWSP 1991 di mana semua caruman baru yang diterima selepas umur 55 tahun akan secara automatik dimasukkan ke dalam Akaun Emas dan akan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun. Ini bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli apabila mencapai umur 60 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Semasa Rundingan Ahli yang telah dijalankan pada April tahun lepas, kami telah mencadangkan beberapa inisiatif penambahbaikan ke atas skim semasa, dan yang paling utama adalah mewujudkan Akaun Emas.
“Memandangkan purata rakyat Malaysia kini bekerja selepas umur 55 tahun dan umur persaraan minimum 60 tahun, KWSP telah memutuskan untuk menyediakan dana persaraan kedua, iaitu Akaun Emas, untuk memelihara simpanan ahli dari umur 55 ke 60 tahun. Penambahan simpanan dalam jangkamasa lima tahun ini akan memberi manfaat kepada ahli apabila mereka bersara kelak.”
KWSP memberi jaminan kepada ahli bahawa Pengeluaran Umur 55 Tahun adalah kekal dan ahli berumur 55 tahun ke atas masih boleh membuat pengeluaran ke atas baki simpanan. Akaun Emas tidak akan menjejaskan skim semasa di mana ahli diberi pilihan untuk membuat pengeluaran penuh atau sebahagian apabila mencapai umur 55 tahun. Simpanan ahli juga boleh terus menerima dividen untuk Akaun Emas dan baki simpanan dalam Akaun 55.
Selain inisiatif Akaun Emas dan Akaun 55, KWSP juga melanjutkan had pengkreditan dividen dari umur 75 tahun sehingga 100 tahun. Ini akan memberi manfaat kepada ahli yang ingin mengekalkan sebahagian simpanan mereka dengan KWSP serta mendapat faedah dari kesan berganda (compounding effect) melalui penerimaan dividen sehingga pengeluaran penuh dibuat.
Lanjutan keputusan Rundingan Ahli tahun lepas, sebanyak 94 peratus responden bersetuju agar KWSP mengekalkan Pengeluaran Umur 55 Tahun, dan caruman baru dari umur 55 hingga 60 disimpan sehingga umur 60 tahun dalam Akaun Emas. Rundingan tersebut juga menyaksikan 61 peratus responden bersetuju agar bayaran dividen dilanjutkan dari umur 75 ke 100 tahun.
Beberapa inisiatif lain juga diperkenalkan ke atas skim dan polisi KWSP seperti perubahan terhadap polisi penamaan, peningkatan kuantum Simpanan Asas, pengeluaran pra-persaraan untuk ahli bukan warganegara dan penambahbaikan ke atas polisi pengurusan (sila lihat Lampiran 1). Kesemua inisiatif ini akan bermula pada 1 Januari 2017.
Untuk maklumat lanjut berkenaan inisiatif penambahbaikan ini, ahli boleh rujuk kepada laman mikro Penambahbaikan Skim dan Polisi KWSP melalui laman web KWSP di new.epf.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.
LAMPIRAN 1
RINGKASAN PENAMBAHBAIKAN SKIM DAN POLISI KWSP
INISIATIF PENAMBAHBAIKAN |
PENERANGAN |
|
1. |
Akaun 55 (Pengeluaran Umur 55 Tahun) |
|
2. |
Akaun Emas (Pengeluaran Umur 60 Tahun) |
|
3. |
Pengkreditan Dividen dan Simpanan Tidak Dituntut |
|
4. |
Penamaan |
o Peranan wasi/pentadbir diperjelaskan dalam borang penamaan o Penamaan akan terbatal sekiranya permohonan pengeluaran tidak dibuat dalam masa satu (1) tahun dari tarikh kematian ahli o Penama bawah umur boleh mengambil tanggungjawab sebagai wasi/pentadbir setelah mencapai umur 18 tahun. |
5. |
Kuantum Simpanan Asas Baru |
|
6. |
Pengeluaran Tambahan untuk Ahli Bukan Warganegara |
o PENGELUARAN PRA-PERSARAAN ▪ Pengeluaran Umur 50 Tahun ▪ Pengeluaran Perumahan - hanya untuk hartanah dalam negara ▪ Pengeluaran Pendidikan ▪ Pengeluaran Kesihatan o PENGELUARAN PENUH ▪ Umur 55 Tahun – Pengeluaran Penuh ▪ Meninggalkan Negara ▪ Kurang Upaya ▪ Kematian |
7. |
Lucuthak Perlindungan Simpanan
|
|
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.