Penutupan Sementara Pejabat Bintulu Berikutan Banjir

KWASA DAMANSARA, 30 Januari 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabatnya di Bintulu mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak berikutan penutupan bekalan elektrik di bangunan terbabit sebagai langkah keselamatan susulan peningkatan paras air banjir. KWSP mengambil langkah proaktif, termasuk menutup mana-mana pejabat yang terjejas, untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan ahli dan anggotanya berikutan banjir yang sedang berlaku di Bintulu dan beberapa kawasan lain di Sarawak.
KWSP sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan penyedia perkhidmatan untuk menilai keadaan dan sebarang kemas kini akan dimaklumkan secepat mungkin. Ahli-ahli yang telah membuat temu janji di pejabat KWSP Bintulu dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka selepas keadaan banjir mulai pulih. Untuk transaksi yang mustahak, ahli dinasihatkan untuk berurusan secara dalam talian melalui i-Akaun untuk perkhidmatan terpilih.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan transaksi KWSP, ahli boleh menghubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-8922 6000 atau merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
30 Januari 2025
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.