Date: 04 Jun 2024
YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim Merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2024

KWASA DAMANSARA, 4 Jun 2024: YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim telah merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-11 2024 (ISWC 2024) pada hari ini dengan kehadiran Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Pegawai Eksekutif Encik Ahmad Zulqarnain Onn, Menteri-Menteri Kabinet, pegawai kanan Kerajaan, ahli Lembaga serta Panel Pelaburan KWSP.

Bertemakan “Ageing and Longevity: Towards a Meaningful Retirement”, persidangan tahunan selama dua hari ini mencetuskan perbincangan mengenai cabaran dan amalan terbaik antarabangsa dalam menangani isu berkaitan fenomena penuaan penduduk dan persaraan, termasuk penambahbaikan ke atas sistem pencen dan persaraan negara. Antara topik-topik yang dibincangkan merangkumi jaminan pendapatan semasa usia tua, kesejahteraan minda dan gaya hidup yang lebih sihat bagi warga emas. Persidangan ini merupakan anjuran bersama KWSP, Kementerian Kewangan (MOF), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), International Social Security Association (ISSA) dan ASEAN Social Security Association (ASSA). Persidangan ini telah meraih kehadiran lebih daripada 800 delegasi secara fizikal serta 1,000 secara atas talian, dan turut dijayakan bersama 19 rakan kongsi serta 25 penceramah tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “ISWC 2024 adalah satu langkah untuk mewujudkan sistem perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat Malaysia yang lebih baik selaras dengan peralihan Malaysia ke arah status negara tua. Keperluan untuk membina sistem perlindungan sosial yang komprehensif dan mampan kini menjadi lebih mendesak. Pelaburan dalam sistem perlindungan sosial adalah penting dan merupakan tanggungjawab kita bersama untuk memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.

“Pada tahun ini, ISWC 2024 memberi tumpuan kepada pelbagai isu dan cabaran berkaitan penuaan penduduk dan persaraan, khususnya dalam menjamin pendapatan semasa usia tua. KWSP memahami bahawa pendekatan yang holistik adalah penting untuk memenuhi keperluan yang berbeza setiap lapisan masyarakat. Pembaharuan dan penambahbaikan yang dijalankan bukan sahaja mampu mengukuhkan sistem perlindungan sosial yang ada, tetapi juga dapat memastikan keterangkuman dan keselamatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ISWC telah berkembang daripada sebuah forum teknikal yang hanya membincangkan idea dan konsep kepada sebuah platform yang memberi tumpuan kepada penyelesaian inovatif dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan. Ia kini berfungsi sebagai landasan untuk memupuk kerjasama dan perkongsian merentas semua segmen komuniti.

Dengan tema yang ditetapkan pada tahun ini, KWSP berhasrat untuk menumpukan perhatian kepada fenomena penuaan penduduk yang sedang pesat berlaku di seluruh dunia. Kesan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada tahun 2043, di mana 14% daripada penduduk adalah terdiri daripada populasi yang berusia 65 tahun ke atas. Menjelang tahun 2060, Malaysia dijangkakan akan mempunyai tiga (3) orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas berbanding 10 orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas pada tahun 2020. 

Tan Sri Ahmad Badri berkata bahawa walaupun peningkatan jangka hayat adalah salah satu penanda kemajuan sesebuah negara, perubahan demografi ini juga akan menimbulkan cabaran kepada masyarakat Malaysia, khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan persaraan.

"Antara cabaran utama adalah perubahan landskap pekerjaan di negara ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri. Segmen yang semakin berkembang ini adalah terdiri daripada hampir empat juta pekerja dan berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kemiskinan pada usia tua akibat daripada ketiadaan liputan program pencen dan persaraan rasmi,” kata Tan Sri Ahmad Badri. Beliau menambah bahawa, untuk menangani cabaran ini, kerajaan telah membantu dan meningkatkan simpanan persaraan sektor tidak formal melalui program i-Saraan dengan menggalakkan caruman sukarela kepada KWSP.

Selaras dengan matlamat Ekonomi MADANI untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada semua, KWSP sedang meneroka inovasi yang boleh diaplikasikan ke atas skim KWSP bagi memberikan perlindungan persaraan yang lebih baik kepada sektor tidak formal. Salah satu langkah terkini ialah penstrukturan semula akaun KWSP pada fasa pengumpulan simpanan yang melibatkan semua ahli bawah umur 55 tahun yang memberikan fleksibiliti kepada semua ahli. Pendekatan ini membolehkan mereka menyimpan untuk persaraan dan pada masa yang sama, mempunyai akses kepada simpanan sekiranya berlaku kecemasan.

Antara penceramah tahun ini termasuk Dr. Amjad Rabi, dari Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya; Datuk Shalin Zulkifli, pemain tenpin profesional Malaysia; Clare Davenport, pengasas Designing4Better; Anu Partanen, pengarang “The Nordic Theory of Everything: In Search of a Better Life”; Robert Reich, bekas Setiausaha Buruh Amerika Syarikat dan pengarang “Saving Capitalism: For the Many, not the Few”; dan William Price, Ketua Pegawai Eksekutif D3P Global.   

Selain persidangan utama, ISWC 2024 menawarkan peserta pelbagai aktiviti menarik, termasuk gamifikasi, kiosk KWSP dan pameran yang disediakan oleh rakan kongsi termasuk Amundi Asset Management, Bank Simpanan Nasional, CGS International, FWD, J.P. Morgan, Nomura Asset Management dan Principal Asset Management.


Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
4 Jun 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.