Tarikh: 29 Okt 2025
Kenyataan Bersama mengenai Aset Battersea

Projek Battersea, yang dimiliki oleh konsortium yang diketuai oleh Sime Darby Property Berhad dan SP Setia Berhad, kekal sebagai pelaburan strategik bagi semua pemegang sahamnya.

Bangunan Battersea Power Station, yang terletak dalam presint komersial Projek Battersea, dimiliki bersama oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang telah diambil alih sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburannya dalam hartanah global.

Kedua-dua organisasi kekal komited untuk merealisasikan potensi pelaburan secara menyeluruh, serta yakin dengan prospek dan potensi peningkatan nilainya. Oleh itu, tiada rancangan segera untuk keluar daripada pelaburan tersebut.

Dari semasa ke semasa, kami menerima cadangan daripada pihak yang berminat untuk melabur dalam projek tersebut, memandangkan aset Battersea adalah ikonik. Sebagai pelabur, PNB dan KWSP akan menilai setiap cadangan dengan teliti, selaras dengan kriteria dan pertimbangan pelaburan kami, yang sentiasa berasaskan penciptaan nilai untuk manfaat pemegang unit PNB dan ahli KWSP. Oleh itu, biasanya apabila pelaburan mencapai tahap kematangan dan pulangan yang disasarkan, kami akan mempertimbangkan peluang untuk pengewangan atau pengenalan rakan strategik bagi menyokong keperluan modal serta pertumbuhan untuk masa hadapan.
 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.