KWSP Lapor Pendapatan Pelaburan bagi S1 2026
KWASA DAMANSARA, 19 Mei 2026: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (S1 2026), meningkat 51% daripada RM18.31 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2025. Selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan terutamanya daripada turun naik kadar pertukaran asing.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Pendapatan suku pertama KWSP yang kukuh mencerminkan keputusan portfolio yang diambil pada awal tahun ini untuk merealisasikan keuntungan berikutan jangkaan bahawa ketidaktentuan pasaran akan berlaku. Pengurus portfolio kami telah mempercepatkan penjanaan pendapatan yang sepatutnya diagihkan sepanjang tahun. Ahli tidak seharusnya menjadikan prestasi suku ini sebagai petunjuk bagi tempoh seterusnya kerana pencapaian sebegini berkemungkinan tidak akan berulang pada suku-suku akan datang. Portfolio asas terus diurus untuk pulangan jangka panjang yang mampan dan bukannya pencapaian jangka pendek.
“Persekitaran pada masa hadapan kekal mencabar. Risiko geopolitik yang tinggi, kenaikan harga minyak dan tekanan inflasi yang kembali meningkat mewujudkan cabaran besar kepada pasaran global. Tindakan awal yang diambil membolehkan kami memasuki tempoh ketidaktentuan ini dalam kedudukan yang kukuh. Keutamaan kini adalah pemeliharaan modal dan pelaksanaan pelaburan secara berdisiplin bagi memastikan kecukupan dan kemampanan simpanan persaraan untuk 18 juta ahli kami dalam jangka panjang,” tambah beliau.
Prestasi Suku Pertama (Setakat 31 Mac 2026)
- Pendapatan Ekuiti meningkat sebanyak 88% daripada RM10.80 bilion pada S1 2025 kepada RM20.34 bilion pada S1 2026. Peningkatan ini didorong oleh keuntungan pasaran yang meluas pada awal suku berikutan sentimen pelabur yang semakin baik telah mendorong kenaikan kebanyakan indeks utama. Walau bagaimanapun, momentum ini mula mereda pada bulan Mac apabila ketegangan geopolitik yang semakin memuncak serta ketidaktentuan global mencetuskan peningkatan volatiliti pasaran.
- Instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.76 bilion, merangkumi 24% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada S1 2026. Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, terus memberikan pulangan yang stabil dan berdaya tahan, berperanan sebagai komponen defensif utama dalam portfolio ketika berdepan ketidaktentuan pasaran.
- Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.19 bilion pada S1 2026, manakala instrumen Pasaran Wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.44 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.
Jadual 1: Ringkasan Prestasi Pelaburan KWSP Bagi S1 2026
| Portfolio | % Jumlah Aset Pelaburan |
Jumlah Pendapatan Pelaburan (RM bilion) |
% Pendapatan |
|---|---|---|---|
Ekuiti |
45.1 |
20.34 |
73 |
Pendapatan Tetap |
46.1 |
6.76 |
24 |
Hartanah dan Infrastruktur |
5.9 |
0.19 |
1 |
Pasaran Wang |
2.9 |
0.44 |
2 |
Jumlah |
100 |
27.73 |
100 |
Pendapatan Pelaburan dan Kepelbagaian Portfolio
Jumlah aset pelaburan mencecah RM1.44 trilion, yang mana 36% daripadanya dilaburkan di peringkat global. Pelaburan antarabangsa menjana RM15.36 bilion, merangkumi 55% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut, sekali gus menekankan kepentingan kepelbagaian geografi dalam meningkatkan pulangan dan mengurus risiko portfolio.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah masing-masing adalah RM22.63 bilion dan RM5.10 bilion.
Pertumbuhan Keahlian dan Penyertaan Aktif
Jabatan Perangkaan Malaysia1 melaporkan bahawa keadaan pasaran buruh kekal stabil pada Februari 2026, dengan kadar pengangguran kekal pada 2.9%. Dalam keadaan ini, KWSP merekodkan 220,925 ahli baharu pada S1 2026, menjadikan jumlah keahlian meningkat melebihi 18.3 juta.
Ahli aktif2 meningkat kepada 10.8 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41. Bilangan majikan aktif pula meningkat kepada 642,609 setakat Mac 2026, susulan 19,956 pendaftaran baharu sepanjang suku tahun tersebut.
Jadual 2: Pendaftaran KWSP Bagi S1 2026
| Indikator | S1 2026 | S1 2025 | Pertumbuhan (%) |
|---|---|---|---|
| 1. Ahli | |||
| Jumlah ahli | 18,322,497 | 16,312,130 | 12.3 |
| Ahli aktif | 10,808,731 | 8,875,688 | 21.8 |
| Ahli baharu | 220,925 | 141,605 | 56.0 |
| 2. Majikan | |||
| Jumlah majikan aktif | 642,609 | 616,558 | 4.2 |
| Majikan baharu | 19,956 | 19,600 | 1.8 |
Peningkatan Berterusan bagi Caruman Sukarela
Jumlah caruman meningkat sebanyak 13.3% kepada RM38.01 bilion pada S1 2026, berbanding RM33.54 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu (rujuk Carta 1). Caruman sukarela terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM8.83 bilion bagi suku tersebut. Ini menunjukkan penyertaan berterusan ahli dalam simpanan sukarela, disokong oleh platform digital KWSP yang membolehkan caruman dibuat secara mudah dan lancar. Sementara itu, bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 19.8% kepada 232,305.
Carta 1: Jumlah Caruman Diterima Secara Suku Tahunan
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
19 Mei 2026
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia, dengan tujuan membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia. Misi KWSP adalah untuk membantu ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa. KWSP telah beralih daripada organisasi berteraskan transaksi kepada institusi pengurusan dana profesional berfokuskan keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan berusaha memupuk budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan ahlinya untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara.



