Tarikh: 01 Okt 2025
KWSP Mulakan Pelaksanaan Caruman Mandatori Bagi Pekerja Bukan Warganegara Malaysia Berkuat Kuasa Oktober 2025

KWASA DAMANSARA, 1 Oktober 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia akan berkuat kuasa bermula gaji bulan Oktober 2025, iaitu bagi caruman bulan November 2025. Dasar baharu ini menetapkan kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing pada 2% daripada gaji bulanan. Peluasan liputan caruman ini merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia (tidak termasuk orang gaji domestik 1 yang mempunyai pasport dan pas kerja yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia merupakan satu langkah penting bagi KWSP dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara. Langkah ini menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan.”

Sejak beberapa bulan yang lalu, KWSP telah menjalankan pelbagai sesi libat urus secara menyeluruh dengan kementerian dan agensi kerajaan, wakil majikan dan pekerja asing, pertubuhan bukan kerajaan, serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan dasar baharu ini berjalan lancar.

Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan, KWSP juga telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meningkatkan integrasi data dan sistem. Kerjasama ini membolehkan perkongsian maklumat secara selamat melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian melalui infrastruktur sedia ada dan prosedur yang telah  dipersetujui. Inisiatif ini meningkatkan kapasiti dan keberkesanan dalam melaksanakan caruman wajib bagi pekerja bukan warganegara Malaysia.

Majikan yang belum berdaftar dengan KWSP dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka bagi memastikan pematuhan dan peralihan yang lancar. Pendaftaran majikan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.

Pendaftaran pekerja bukan warganegara Malaysia sebagai ahli KWSP yang melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP. Majikan boleh menyemak secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan) untuk memastikan pendaftaran dilaksanakan dengan tepat. Bagi pemegang pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa. Pekerja disarankan melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran.

Majikan dan pihak berkepentingan boleh merujuk kepada halaman khas di laman web KWSP, Caruman Untuk Pekerja Bukan Warganegara Malaysia - KWSP Malaysia untuk maklumat lanjut.

____________________________

 1 Menurut Seksyen 3, Akta Pampasan Pekerja 1952, ‘orang gaji domestik’ merujuk kepada individu yang bekerja sebagai, antara lain: Pembantu rumah, Tukang masak, Tukang kebun, Tukang cuci, Pengasuh (babysitter), pemandu dan seumpamanya.

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
1 Oktober 2025

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.