Pendaftaran Automatik Memudahkan Proses Untuk Majkan Pekerja Bukan Warganegara Malaysia
KWASA DAMANSARA, 7 Oktober 2025: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa mulai Oktober 2025, pendaftaran ahli bagi pekerja bukan warganegara Malaysia yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian akan dilaksanakan secara automatik. Langkah ini mengelakkan keperluan untuk pekerja hadir ke pejabat KWSP dan majikan boleh mengesahkan butiran pendaftaran pekerja mereka secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan). Bagi pemegang pas jenis lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP di seluruh negara seperti biasa.
Majikan yang terlibat telah dimaklumkan mengenai proses baharu ini melalui surat notis yang dihantar mulai 20 September 2025. Majikan perlu membuat janji temu melalui pautan URL yang disertakan dalam surat notis tersebut bagi tujuan pendaftaran pekerja yang tidak berjaya didaftarkan secara automatik, serta bagi pengemaskinian maklumat dan pengesahan cap ibu jari bagi pekerja yang telah berjaya didaftarkan.
Bagi pekerja yang berjaya didaftarkan, majikan boleh terus membayar caruman menggunakan nombor KWSP yang dibekalkan. Majikan bertanggungjawab untuk memastikan caruman bulanan pekerja dipotong dengan betul daripada gaji bulanan pekerja dan dibayar kepada KWSP pada atau sebelum 15 haribulan bulan berikutnya. Contohnya, bagi gaji bulan Oktober 2025, maka bulan caruman adalah November 2025 dan hendaklah dibayar pada atau sebelum 15 November 2025.
Secara keseluruhan, terdapat enam (6) fokus utama tanggungjawab majikan di bawah pelaksanaan dasar baharu ini:
1. Mendaftar sebagai majikan KWSP
- Syarikat yang belum berdaftar dengan KWSP perlu berbuat demikian bermula 1 Oktober 2025.
2. Mendaftar pekerja sebagai ahli KWSP
- Majikan perlu mendaftarkan dan mencarum untuk pekerja mereka mulai 1 Oktober 2025.
3. Membayar caruman
- Majikan dan pekerja masing-masing dikehendaki mencarum sebanyak 2% daripada gaji pekerja. Caruman hendaklah dibayar kepada KWSP pada atau sebelum 15 haribulan setiap bulan.
4. Menyenggara rekod penggajian
- Majikan perlu mengemas kini dan menyimpan rekod penggajian pekerja untuk semakan KWSP.
5. Mengemas kini rekod
- Majikan perlu mengemas kini maklumat perhubungan, pertukaran nama dan status syarikat.
- Majikan perlu memaklumkan penamatan operasi atau pemberhentian kesemua pekerja.
6. Membimbing pekerja dalam proses pengeluaran
- Majikan hendaklah menasihatkan pekerja untuk memohon Pengeluaran Meninggalkan Negara dalam tempoh dua bulan sebelum tamat pas, sekiranya tidak bercadang menyambung pas kerja.
- Majikan perlu memastikan dokumen sokongan bagi semua pengeluaran yang layak telah disahkan, lengkap dan teratur.
Untuk maklumat lanjut, majikan dan pihak berkepentingan boleh merujuk kepada halaman khas di laman web KWSP: Caruman Untuk Pekerja Bukan Warganegara Malaysia - KWSP Malaysia.
Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
7 Oktober 2025
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan tujuan untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.



