Tarikh: 26 Feb 2026
Penutupan Sementara Pejabat Beaufort Berikutan Banjir

KWASA DAMANSARA, 26 Februari 2026: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabatnya di Beaufort, Sabah, mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak berikutan peningkatan paras air banjir di kawasan tersebut. Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan ahli dan anggota KWSP.

KWSP sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan penyedia perkhidmatan untuk memantau keadaan dan sebarang status terkini akan dimaklumkan secepat mungkin. Ahli yang mempunyai temu janji sedia ada dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka, sementara transaksi yang penting boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun untuk perkhidmatan terpilih.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan transaksi KWSP, ahli boleh menghubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-8922 6000 atau merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

 

Dikeluarkan oleh
Unit Editorial and Media Relations
Jabatan Hal Ehwal Korporat
26 Februari 2026

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan terkemuka di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Selaras dengan matlamatnya untuk membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. KWSP terus komited kepada ahli melalui inisiatif-inisiatif untuk mengemaskini dan menambah baik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.