Tarikh: 18 Apr 2021
Penutupan Sementara Cawangan Kangar dan Pembukaan Semula Cawangan Pekan

KUALA LUMPUR, 18 April 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Kangar, Perlis mulai Isnin, 19 April 2021 hingga dimaklumkan kelak, selepas seorang anggota cawangan tersebut didapati positif COVID-19.

Penutupan ini berikutan daripada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi. Anggota KWSP tersebut kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.

Pihak kementerian juga telah mengarahkan semua anggota KWSP Kangar untuk menjalani kuarantin di rumah sehingga 25 April 2021 serta akan menjalani ujian swab COVID-19.

Selain itu, KWSP Pekan akan dibuka semula bermula Isnin, 19 April 2021 selepas ditutup sejak 9 April 2021.

Ahli-ahli adalah dinasihatkan untuk melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun atau menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online jika ada keperluan untuk hadir ke cawangan.

Semua cawangan KWSP akan tetap mengamalkan penjarakan fizikal dan SOP pencegahan yang lain untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Sekiranya ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut, mereka boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
18 April 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.