Bayar Diri Sendiri Dahulu: Kaedah Pengurusan Kewangan Yang Perlu Anda Tahu

Bayar Diri Sendiri Dahulu: Kaedah Pengurusan Kewangan Yang Perlu Anda Tahu
Article Image

Dalam pengurusan bajet, kebanyakan individu akan mengagihkan pendapatan mereka kepada perbelanjaan mengikut kategori yang berbeza. Ini bagi memastikan mereka mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung komitmen bulanan seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta, bayaran bil, dan perbelanjaan  keperluan asas seperti makanan, penjagaan peribadi, pengangkutan dan sebagainya.

Bagaimanapun, kita kadangkala tidak menganggap simpanan sebagai sebahagian daripada aktiviti pengurusan bajet dan justeru mengabaikan agihan untuk simpanan sebaik sahaja kita menerima pendapatan. Kebiasaannya kita hanya akan menyimpan apabila terdapat lebihan wang setelah membuat bayaran untuk semua perbelanjaan. Seperti perbelanjaan untuk keperluan kehidupan, simpanan juga perlu dianggap sebagai satu keperluan dalam pengurusan bajet. Kita sepatutnya mula mengagihkan wang dari sekarang untuk memenuhi keperluan masa hadapan, sama ada bagi menghadapi situasi kekurangan pendapatan ataupun perbelanjaan di luar jangka. 

Situasi seperti di atas boleh mengakibatkan amalan menyimpan yang tidak konsisten dalam kalangan masyarakat kita sekali gus menjejaskan daya ketahanan kewangan dalam jangka masa panjang. Berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan yang telah dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2021, 47 peratus rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyediakan RM1,000 ketika kecemasan. 

Baca juga: Mengapa Pendapatan Tinggi Tidak Bermaksud Simpanan Lebih Besar

 

Apakah maksud bayar diri sendiri dahulu?

Bayar diri sendiri dahulu ialah kaedah pengurusan bajet secara terbalik (reverse budgeting), iaitu menjadikan simpanan sebagai salah satu perbelanjaan penting, dan perbelanjaan tersebut adalah untuk diri sendiri dalam bentuk simpanan. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengasingkan sebahagian daripada pendapatan anda  untuk simpanan sebelum mengagihkan bakinya kepada pelbagai ketegori perbelanjaan. Dengan menggunakan kaedah ini, anda mengutamakan simpanan anda sebagai sebahagian perbelanjaan wajib dalam bajet anda. 

Bagaimanakah bayar diri sendiri dahulu dapat membantu anda menguruskan kewangan dengan lebih baik?

 

1. Bina tabung kecemasan untuk menampung perbelanjaan di luar jangka

Sasarkan untuk mengumpul wang sekurang-kurangnya bersamaan dengan 6 bulan perbelanjaan bulanan sebagai tabung kecemasan anda.  Ini akan membantu anda memastikan aktiviti kehidupan harian dapat diteruskan dengan lancar sekiranya berlaku kejutan pendapatan seperti penurunan pendapatan, kehilangan pekerjaan atau keperluan perbelanjaan perubatan di luar jangka.

2. Elakkan daripada membelanjakan kesemua pendapatan anda dan tidak dapat menyimpan

Menerima pendapatan daripada hasil titik peluh kita ialah satu kegembiraan. Bagaimanapun, dengan mengasingkan sebahagian pendapatan anda untuk simpanan terlebih dahulu sebelum berbelanja, anda dapat mengelakkan daripada membelanjakan kesemua pendapatan. Ini juga untuk memastikan anda mempunyai wang untuk memenuhi keperluan di masa hadapan. 

Baca juga: Cara Lesapkan Simpanan Dalam 10 Hari (Jangan Cuba!)

3. Meningkatkan daya ketahanan kewangan jangka panjang 

Dengan menjadikan simpanan sebagai perbelanjaan wajib untuk diri sendiri, anda  mengambil langkah penting  dalam memperkukuh daya ketahanan kewangan anda untuk jangka panjang.  Menyimpan secara konsisten membantu anda membina asas kewangan yang kukuh sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan , sambil  mengurangkan kebimbangan  terhadap hal-hal berkaitan kestabilan kewangan.

 

3 tip untuk mengamalkan bayar diri sendiri dahulu

 

1) Buka akaun bank yang berasingan untuk tujuan simpanan dan pindahkan sebahagian pendapatan anda ke akaun tersebut sebaik sahaja anda menerimanya Aturkan arahan tetap dengan bank anda untuk pemindahan wang secara automatik bagi memastikan anda tidak terlepas untuk membuat simpanan.

2) Sesuaikan perbelanjaan anda agar dapat menyimpan sebahagian pendapatan. Mulakan dengan amaun kecil dan tingkatkan  simpanan secara beransur-ansur kemampuan anda.

3) Selain daripada menyimpan di bank, pertimbangkan untuk menggunakan sebahagian daripada simpanan anda untuk menambah simpanan di Akaun KWSP anda melalui melalui Caruman Sukarela. Dengan aplikasi KWSP i-Akaun anda boleh meningkatkan simpanan KWSP anda dengan mudah. Hanya dengan beberapa langkah mudah di hujung jari, anda bukan sahaja dapat memperkukuh dana persaraan anda, malah melabut untuk masa depan yang lebih terjamin.

Muat Turun Aplikasi KWSP i-Akaun Sekarang

back chevron

Kebiasaannya, kita lebih cenderung memberi tumpuan kepada perbelanjaan berbanding simpanan. Perbelanjaan memberikan kepuasan segera, sementara simpanan sering dianggap sebagai satu kerugian kerana ia mengurangkan jumlah wang yang boleh dibelanjakan. Namun, dengan membuat simpanan terlebih dahulu, anda dapat menetapkan had perbelanjaan, sekali gus mengelakkan diri daripada terperangkap dalam tabiat berbelanja secara berlebihan, memastikan keperluan masa depan dipenuhi, dan mengurangkan risiko berbelanja melebihi kemampuan.

Mulakan amalan pengurusan bajet secara terbalik (reverse budgeting) hari ini – ‘simpan dulu, belanja kemudian’. Dengan amalan menyimpan secara konsisten, anda akan menikmati ketenangan dalam menguruskan kewangan,kerana anda mempunyai simpanan untuk menghadapi situasi kecemasan dan, pada masa yang sama, dapat mengumpul dana untuk persaraan anda.