Setiap orang ada kereta impian — mungkin jenis yang bergaya, mungkin praktikal, atau apa sahaja asalkan bukan kereta lama ayah (kalau anda tanya saya, BMW 5-Series jadi pilihan hati). Memiliki kereta pertama selalunya buat kita rasa teruja, seolah-olah satu peralihan penting dalam kehidupan dewasa.
Namun, impian itu bukan sahaja memerlukan belanja besar, tetapi juga komitmen kewangan yang berpanjangan. Berikut ialah beberapa faktor yang boleh dipertimbangkan untuk membantu anda menentukan sama ada sekarang masa yang sesuai untuk memiliki kereta pertama anda, dengan mengambil kira perancangan kewangan dan kos sebenar pemilikan.
Kenapa anda mahu kereta?
Sebelum anda mula membandingkan model atau menyemak pinjaman kereta, penting untuk anda jelas tentang sebab sebenar anda mahu memiliki kereta.
- Adakah untuk ulang-alik ke tempat kerja kerana pengangkutan awam kurang praktikal?
- Adakah kerana orang lain sudah ada kereta sendiri?
- Untuk mudahkan urusan keluarga dan tanggungjawab harian?
- Atau sekadar mahukan keselesaan dan kebebasan bergerak?
Apabila anda jelas tentang keperluan sebenar, lebih mudah untuk membezakan antara kehendak dan keperluan. Jika ia lebih kepada kehendak, mungkin pembelian boleh ditangguhkan dahulu — dan anda boleh fokus kepada keperluan lain yang lebih mendesak dalam perancangan kewangan anda.
Baca juga: 7 Cara Praktikal Urus Gaji Pertama Anda Sebagai Graduan Baharu
Kos tersembunyi pemilikan kereta
Setelah anda jelas tentang sebab anda mahu memiliki kereta, langkah seterusnya ialah menilai kemampuan kewangan secara realistik. Harga di bilik pameran cuma sebahagian kecil daripada kos sebenar memiliki kereta. Pemilikan kereta datang dengan pelbagai kos berterusan yang perlu diambil kira:
- Bayaran bulanan pinjaman – kebanyakan pembeli kali pertama mengambil pinjaman sewa beli antara 7 hingga 9 tahun.
- Insurans kereta dan cukai jalan – biasanya lebih tinggi untuk pemandu muda atau baharu, dan bergantung kepada saiz kereta.
- Minyak, parkir dan tol – kos kecil yang boleh cepat meningkat.
- Servis dan penyelenggaraan – termasuk tayar, servis berkala, bateri, dan kerosakan yang tidak dijangka
Maklumat berguna: Petrol RON95 di Malaysia masih disubsidi oleh kerajaan, menjadikan harganya stabil untuk kebanyakan pengguna. Namun, memandangkan dasar boleh berubah, adalah bijak untuk merancang bajet dengan sedikit ruang fleksibel sekiranya berlaku perubahan harga bahan api.
Baca juga: Sewa Atau Beli – Apa Yang Terbaik Untuk Anda?
Kereta baharu vs terpakai: Mana lebih sesuai?
Kereta baharu memang ada tarikannya — serba moden, dilengkapi teknologi terkini, dan ada waranti daripada pengeluar. Tapi harganya lebih tinggi, dan nilainya mula susut sebaik sahaja keluar dari bilik pameran.
Sebaliknya, kereta terpakai yang dijaga dengan baik boleh jadi pilihan yang lebih berbaloi. Harganya lebih rendah, dan anda mungkin dapat model yang masih dalam keadaan baik dengan kos pemilikan yang lebih terkawal.
Sebelum membuat keputusan, pertimbangkan bajet anda, keperluan harian, dan kos jangka panjang seperti penyelenggaraan serta insurans kereta. Kadangkala, kereta terpakai berusia 2 hingga 3 tahun sudah cukup untuk kegunaan harian dan harganya jauh lebih mampu milik
Perlu beli kereta sekarang atau ada alternatif lain?
Ada kalanya, pilihan paling bijak ialah menangguhkan dahulu pembelian kereta. Jika tren, bas atau perkhidmatan e-hailing boleh membawa anda ke mana-mana destinasi dengan mudah, kereta mungkin hanya sekadar kemudahan yang mahal. Lagipun, menjadi penumpang pun ada kelebihannya, tidak perlu pening kepala cari parkir, bayar tol, atau risau tentang harga petrol.
Senarai semak sebelum membeli
Sebelum membuat keputusan, semak perkara berikut:
✅ Adakah anda telah menyimpan sekurang-kurangnya 20% wang pendahuluan?
✅ Adakah bayaran bulanan kekal di bawah 20% daripada pendapatan?
✅ Adakah anda bersedia untuk menanggung kos insurans kereta, parkir dan tol?
✅ Adakah anda benar-benar perlukan kereta, atau masih boleh bergantung pada pengangkutan awam?
Jika kebanyakan jawapan anda ialah “tidak”, mungkin lebih baik tunggu dahulu dan pertimbangkan pilihan pengangkutan lain yang ada. Apa pun keputusan anda, yang penting ialah membuat pilihan yang sesuai dengan keadaan kewangan dan gaya hidup anda.
Memiliki kereta sendiri buat kita rasa lebih bebas dan berdikari. Tetapi ia juga datang bersama tanggungjawab yang perlu dipikul.
Kereta pertama anda boleh memudahkan kehidupan dan memberi lebih keselesaan, tetapi fikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan. Pastikan ia benar-benar sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda, kerana bila kunci sudah di tangan, kereta itu menjadi tanggungjawab anda sepenuhnya… sama ada dalam hal yang menyenangkan atau yang mencabar.



