Memiliki rumah dilihat sebagai simbol kestabilan hidup. Tetapi dengan keadaan ekonomi sekarang, ditambah pula harga rumah yang terus naik di Malaysia, ramai mula tertanya-tanya: Lebih baik beli, atau sewa saja?
Gunakan 5 soalan berikut untuk mencari apa yang sesuai untuk anda.
1. Mampukah saya beli rumah sekarang?
Kos membeli rumah bukan hanya pada tanda harga. Anda memerlukan bajet untuk:
Tip: Sentiasa bandingkan kos bulanan membeli dan menyewa rumah pilihan anda. Kadang-kadang perbezaannya amat ketara!
2. Saya dah bersedia nak “settle down” — atau perlukan fleksibiliti?
Fikirkan tentang situasi hidup anda sekarang. Adakah saya dah selesa dengan kerjaya dan lokasi sekarang? Atau ada kemungkinan saya akan berpindah kerja, sambung belajar atau memulakan keluarga?
Membeli rumah boleh menjadi langkah bijak jika anda merancang untuk menetap di satu tempat pada jangka masa yang lama. Anda akan mula bina ekuiti — iaitu pemilikan yang bertambah apabila anda terus bayar pinjaman rumah — dan anda akan mempunyai kebebasan untuk mengubahsuai rumah milik anda mengikut citarasa sendiri.
Namun, jika anda masih belum pasti tentang masa depan anda, menyewa akan memberi anda lebih fleksibiliti untuk berpindah tanpa beban.
Baca juga: Kuasa Belanjawan: Langkah, Kepentingan & Tips
3. Sanggupkah saya pikul tanggungjawab sebagai pemilik rumah?
Memiliki rumah bermakna anda perlu mengurus pembaikan, membayar bil, penyelenggaraan, cukai hartanah, dan insurans. Semua ini boleh memakan masa dan menelan kos yang tinggi.
Apabila anda menyewa, kebanyakan tanggungjawab ini ditanggung oleh pemilik rumah. Ini bermakna anda tidak perlu membebankan fikiran dan anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk menikmati rumah anda — tiada bumbung bocor atau alat pemanas yang perlu dibaiki sendiri.
Jika anda belum bersedia untuk mengurus pembaikan, urusan kertas kerja, dan kos yang tidak dijangka, menyewa mungkin lebih sesuai buat masa ini.
4. Bagaimanakah keadaan pasaran — adakah sekarang masa yang sesuai untuk membeli rumah?
Di kebanyakan kawasan bandar, jurang di antara menyewa dan membeli rumah semakin melebar. Jadikan Kawasan Bukit Kiara sebagai contoh – kawasan kediaman yang popular di Kuala Lumpur.
- Menyewa 3 bilik condominium: ~RM4,891/sebulan
- Membeli unit yang sama: ~RM1.2 – RM1.3 million
- Bayaran balik gadai janji: ~RM4,990/sebulan (berdasarkan pinjaman 90% selama 30 tahun pada kadar 4%)
- Yuran penyelenggaraan: ~RM400/sebulan
- Jumlah kos pemilikan: ~RM5,390/sebulan
(Sumber: Senarai hartanah dari PropertyGuru pada Jun 2025)
Perbezaannya kira-kira sebanyak RM400 hingga RM1,000 sebulan, bergantung pada jenis unit — tidak termasuk kos permulaan seperti bayaran pendahuluan, yuran guaman, dan duti setem. Tanya diri anda:
- Adakah pasaran hartanah di kawasan ini berpatutan?
- Adakah saya membeli untuk nilai jangka panjang atau semata-mata kerana lokasi?
- Adakah wang saya boleh berkembang lebih banyak jika dilaburkan di tempat lain dan tidak terikat dalam hartanah?
Menyewa dan melaburkan simpanan yang anda perolehi kadangkala boleh meletakkan anda dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh — terutamanya jika diurus dengan teliti.
5. Adakah ini gaya hidup yang saya inginkan — atau yang saya mampu?
Kadangkala kita terpengaruh dengan idea memiliki rumah sebelum kita benar-benar bersedia dari segi kewangan — akhirnya terpaksa berulang-alik jauh, tinggal di ruang yang sempit, dan bajet bulanan menjadi sangat terhad.
Sebaliknya, menyewa mungkin menjadi pilihan lebih praktikal untuk gaya hidup anda sekarang — tinggal dekat dengan tempat kerja, akses kemudahan, dan komuniti yang aktif.
Kalau beli rumah impian anda sekarang perlukan terlalu banyak pengorbanan, ia adalah lebih baik untuk tunggu hingga anda benar-benar bersedia.
Baca juga: 5 Sebab Anda Perlu Menyimpan Duit
Bagaimana KWSP boleh menyokong pemilikan rumah anda
Jika anda cenderung untuk membeli rumah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menawarkan beberapa pilihan pengeluaran berkaitan perumahan, termasuk pengeluaran dimana ia membolehkan ahli yang layak untuk menggunakan simpanan Akaun Sejahtera mereka bagi membuat bayaran muka.
Jadi, apa pilihan terbaik untuk anda?
Sama ada anda memilih untuk membeli rumah atau menyewa, keputusan tersebut tidaklah seharusnya disebabkan tekanan dari masyarakat sekeliling. Ia hendaklah berlandaskan apa yang terbaik dan sesuai untuk anda.
Menyewa bukanlah “membazirkan wang,” manakala membeli pula tidak semestinya pilihan kewangan yang paling bijak. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan.
- Sewa jika anda menghargai fleksibiliti, belum bersedia untuk komitmen jangka panjang, atau mahu nikmati gaya hidup lebih bebas buat masa ini.
- Beli jika anda bersedia untuk menetap, ada kestabilan kewangan, atau mahu bina aset dan miliki rumah sendiri.
Sama ada anda menyewa atau membeli, keputusan terbaik adalah yang menyokong kehidupan anda hari ini dan untuk tahun-tahun yang akan datang.
Baca Juga: 6 Jenis Pengeluaran KWSP Untuk Rumah