Cara Berbelanja & Menyimpan Dengan Girl Math

Bagaimana Girl Math Mempengaruhi Cara Kita Berbelanja
Article Image

Bayangkan anda sedang berjalan di pusat beli-belah. Anda ternampak sebuah gerai kopi dengan harga yang murah. Pada awalnya, tiada rancangan untuk membeli, namun kebetulan ada wang tunai di tangan. Ketika itu, terlintas di fikiran: “Ini kira macam percuma… lagipun pembelian ini tidak memberi kesan, bukan?"

Anda kemudian membuat pembayaran secara tunai dan berlalu pergi dengan rasa puas hati kerana baki akaun bank masih kekal sama.  

Wanita membayar di kaunter kafe Kopi Kita dengan kod QR scan and pay, menggambarkan perancangan kewangan KWSP.

 

Cara berfikir sebegini mungkin pernah terlintas sekurang-kurangnya sekali apabila membuat keputusan untuk membeli sesuatu. Alasan ini mungkin kelihatan munasabah untuk pembelian spontan. Namun, jika menjadi kebiasaan, wajar juga kita bertanya: dalam jangka panjang, ke mana perginya semua perbelanjaan ini.

Tanpa disedari, anda mungkin sedang mengamalkan apa yang dikenali di media sosial sebagai “girl math” atau lebih mudah difahami sebagai logik sendiri bila berbelanja — satu cara berfikir yang sentiasa mencari alasan untuk membenarkan setiap perbelanjaan.

Apa itu ‘girl math’?

Girl math” atau logik sendiri bila berbelanja ialah istilah popular di media sosial yang digunakan secara santai untuk membenarkan pembelian dan mengurangkan rasa bersalah ketika berbelanja, sama ada untuk pembelian kecil atau besar. Trend yang bermula sekadar untuk suka-suka kini perlahan-lahan menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu dalam merasionalisasikan perbelanjaan harian.

Walaupun sering dikaitkan dengan golongan tertentu di media sosial, cara berfikir ini sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Malah, perbelanjaan yang jelas mengganggu perancangan kewangan pun boleh terasa masuk akal apabila dinilai melalui logik ini.

Contoh “girl math” yang biasa berlaku

Berikut antara situasi yang mungkin pernah anda alami:

1. Falsafah wang tunai

Membayar dengan wang tunai selalunya terasa seperti "tidak berbelanja" kerana tidak direkod dalam transaksi digital. Rasa bersalah juga berkurang walaupun wang tetap digunakan.

2. Logik diskaun

Apabila item bernilai RM100 ditawarkan dengan diskaun 50%, anda mungkin terasa seperti sedang menjimatkan wang, bukannya berbelanja. Logik ini membuatkan keadaan seolah-olah anda memperoleh RM50, sehingga tidak membeli pula dilihat seperti satu kerugian.

Wanita terkejut memegang beg beli-belah di sebelah tag diskaun, menggambarkan perbelanjaan ikut perasaan dan kewangan bijak KWSP.

 

3. Pembelian “percuma”

Dalam logik sendiri untuk berbelanja, ada beberapa pembelian yang sering dianggap “percuma”, antaranya:

  • Item murah seperti RM5 terasa tidak memberi kesan besar kepada bajet  
  • Membayar kopi menggunakan baki dalam aplikasi dianggap percuma kerana wang telah dikeluarkan lebih awal dari akaun bank  
  • Menonton konsert dengan tiket yang dibeli beberapa bulan lalu terasa seperti tidak melibatkan kos  
  • Memulangkan barangan (refund) pula seolah-olah mendapatkan kembali wang untuk digunakan

4. Nilai berdasarkan penggunaan

Pendekatan ini sering digunakan bagi pembelian bernilai tinggi dengan membahagikan harga kepada kekerapan penggunaan. Contohnya, kasut berharga RM300 yang dipakai setiap hari selama setahun menjadikan kos sekitar 80 sen sehari.

Ini membuatkan pembelian tersebut terasa lebih berbaloi, malah lama-kelamaan seolah-olah “percuma”.

3 cara gunakan “girl math” dengan lebih bijak

Pemikiran seperti ini mungkin memudahkan keputusan untuk berbelanja. Namun, masalah timbul apabila kita terlalu bergantung pada cara fikir sebegini, sehingga perancangan kewangan turut terjejas. Dalam masa yang sama, apabila digunakan dengan lebih berhati-hati, pendekatan ini juga boleh membantu anda mengurus perbelanjaan dengan lebih teliti dan tersusun.

1. Jejak dan bandingkan pembelian bernilai tinggi

Pantau perbelanjaan bagi item bernilai tinggi dan bandingkan pilihan yang ada. Gunakan kos mengikut penggunaan sebagai panduan untuk menilai kualitinya serta melihat sama ada pembelian tersebut benar-benar berbaloi dalam jangka panjang.

Ini membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak, sekali gus mengelakkan pembelian tambahan yang tidak diperlukan. Dengan itu, anda boleh mengutamakan item dalam senarai hajat tanpa membebankan kewangan.

2. Tetapkan bajet ganjaran diri 

Memberi ganjaran kepada diri sendiri tidak salah, tetapi tanpa kawalan, perbelanjaan boleh memberi tekanan kepada kewangan. Tetapkan bajet yang munasabah supaya anda masih boleh menikmati perbelanjaan tanpa menjejaskan kestabilan kewangan.

Wanita memegang senarai ganjaran diri memikirkan keluarga, bil, simpanan dan kesihatan, melambangkan keseimbangan kewangan KWSP.

 

Baca juga: Manjakan Diri Anda Tanpa Memecahkan Tabung

3. Tukar wang pulangan (refund) menjadi simpanan

Memulangkan barangan yang tidak digunakan mungkin terasa seperti “mendapat wang semula”. Namun, daripada terus membelanjakannya, wang tersebut boleh dimanfaatkan untuk caruman sukarela KWSP melalui aplikasi KWSP i-Akaun.

Dengan cara ini, walaupun jumlahnya kecil, wang tersebut berpotensi berkembang dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada simpanan persaraan.

Bagaimana cara fikir ini mempengaruhi corak perbelanjaan anda

Konsep ini boleh mempengaruhi cara anda melihat perbelanjaan, sama ada positif atau sebaliknya, sekali gus memberi gambaran yang lebih seimbang.

Bagi sesetengah orang, pendekatan ini membuatkan perbelanjaan terasa lebih mudah, manakala bagi yang lain, tabiat merasionalisasikan pembelian boleh menjadi kebiasaan dan menjejaskan disiplin kewangan.

1. Mencari keseimbangan

Apabila perbelanjaan dikawal terlalu ketat, pendekatan seperti “girl math” kadangkala boleh membantu meredakan tekanan. Sesekali, tidak salah untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri agar kekal bermotivasi. Yang penting, pastikan perbelanjaan tersebut masih dalam kawalan.

Baca juga: Adakah Soft Saving Bakal Menjadi Minda Kewangan Baharu 2026?

2. Daripada tanpa sedar kepada lebih peka dalam berbelanja 

Girl math” bukanlah sesuatu yang baharu, dan besar kemungkinan ramai yang pernah mengamalkannya. Apabila cara fikir ini mula dikongsikan secara meluas di media sosial, kesedaran terhadap tabiat berbelanja turut meningkat.

Apa yang dahulunya dianggap biasa kini mula dipersoalkan dan dinilai semula. Namun, kesedaran ini tidak semestinya membawa perubahan. Ada juga yang kekal dengan tabiat lama kerana cara tersebut sudah menjadi kebiasaan.

3. Daripada FOMO kepada niat yang jelas

Daripada membeli kerana trend atau sekadar untuk memuaskan hati, fokus kini beralih kepada satu soalan penting: “Adakah ini benar-benar perlu dan sesuai untuk saya?”

Bila mula berfikir macam ini, anda akan lebih cenderung untuk berhenti seketika sebelum membuat pembelian. Lama-kelamaan, cara berbelanja jadi lebih teratur dan tidak lagi terburu-buru.

Baca juga: Adakah anda seorang pembeli FOMO?

Ringkasnya, “girl math” memberi sudut pandang baharu tentang cara berbelanja dan kadangkala membuatkan belanja terasa kurang membebankan apabila digunakan dengan bijak. Namun, tanpa kawalan, pendekatan ini boleh membawa kepada tabiat berbelanja berlebihan serta menjejaskan perancangan kewangan.

Apabila anda lebih peka dengan cara fikir ini, keputusan yang dibuat jadi lebih seimbang dan selari dengan matlamat kewangan.

back chevron