Anda sedang melayari Instagram, dan tiba-tiba — BAM! Pempengaruh kegemaran anda baru sahaja memuat naik hantaran tentang produk penjagaan kulit baharu yang kononnya “mesti dimiliki”. Tahu-tahu sahaja, produk itu sudah pun berada dalam troli anda — dan baki akaun bank? Tinggal nyawa-nyawa ikan.
Jenama yang sering muncul di TikTok dan Instagram tahu cara terbaik untuk buat anda rasa terpaksa membeli. Ayat seperti “Tinggal 3 sahaja!” atau “Peluang terakhir untuk membeli!” sengaja direka untuk mencetuskan rasa terdesak dan buat anda klik 'Beli Sekarang' — walaupun anda tidak benar-benar memerlukannya.
Selamat datang ke Kelab Pembeli FOMO — keahliannya percuma, tetapi perbelanjannya tidak berpenghujung.
Apa itu sindrom FOMO dalam perbelanjaan?
FOMO ialah singkatan Fear of Missing Out, atau rasa takut tercicir — perasaan yang timbul apabila anda nampak orang lain membeli, mencuba atau memakai sesuatu yang menarik… dan anda tidak mahu rasa ketinggalan.
Pada masa yang sama, wujud pula tabiat suka membeli — bukan kerana perlu, tetapi kerana barang itu nampak menarik, tengah tular, atau dipromosikan oleh pempengaruh.
Gabungkan kedua-duanya, dan lahirlah sindrom FOMO dalam perbelanjaan — bila anda membeli lebih kerana tekanan sosial dan trend, bukan sebab keperluan sebenar.
Uji diri anda: Adakah anda seorang pembeli FOMO?
Tak pasti sama ada anda sudah terkena sindrom FOMO? Cuba jawab kuiz ringkas ini dengan Ya atau Tidak — dan semak skor anda di akhir nanti!
Berapa skor FOMO anda?
| Julat Skor | Penjelasan |
|---|---|
| 0–1 Ya | Anda terkawal! Anda membuat pembelian dengan teliti dan penuh pertimbangan. Teruskan — dompet anda (dan masa depan anda) pasti berterima kasih. |
| 2–3 Ya | Zon berjaga-jaga. FOMO mungkin sedang mempengaruhi corak perbelanjaan anda lebih daripada yang anda sedar. Masa untuk berhenti sejenak dan nilai semula tabiat membeli anda. |
| 4–5 Ya | Sindrom FOMO sedang mengawal anda. Tapi jangan risau — kini anda sudah sedar, dan anda boleh ambil semula kawalan serta berbelanja dengan lebih bijak dan berhemah. |
Cara atasi sindrom FOMO dalam perbelanjaan
Mengatasi sindrom FOMO bukan bermakna anda berhenti membeli barang yang menyeronokkan — tetapi ia tentang berbelanja dengan niat dan kesedaran. Jenama tempatan akan sentiasa melancarkan produk “wajib dimiliki” yang baharu, tetapi soalan sebenar ialah: adakah anda benar-benar perlukan barang itu?
1. Amalkan pembelian berhemah
Senaraikan dahulu apa yang anda inginkan. Tunggu beberapa hari sebelum membuat pembelian.
2. Tapis kandungan media sosial
Unfollow akaun yang kerap menggoda anda untuk berbelanja. Sebaliknya, ikuti akaun yang mempromosikan gaya hidup berhemah.
3. Pantau perbelanjaan anda
Gunakan aplikasi seperti Belanjawanku untuk menetapkan dan menjejak bajet bulanan.
Muat turun Belanjawanku dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.
4. Tetapkan bajet ‘suka-suka’
Peruntukkan jumlah tertentu setiap bulan untuk pembelian bukan keperluan. Contohnya RM150 sebulan untuk hiburan. Bila had itu sudah digunakan, berhenti seketika daripada membeli.
5. Tinjau semula pembelian lama
Semak semula barang yang jarang anda gunakan. Tanya diri: Adakah ia benar-benar berbaloi? Gunakan pengalaman itu untuk pembelian akan datang.
Baca juga: Kuasa Belanjawan: Langkah, Kepentingan & Tips
Berbelanja dengan bijak, bukan kerana FOMO
Perbelanjaan yang didorong oleh sindrom FOMO memang biasa — tetapi ia tidak sepatutnya mengawal anda.
Bila anda lebih peka terhadap tabiat sendiri dan membuat pilihan yang berhemah, anda boleh menikmati pengalaman membeli-belah tanpa rasa bersalah.
Beli kerana nilai, bukan kerana trend. Anda yang kawal dompet anda — bukan algoritma.



